
Menurutnya, sehingga 31 Disember tahun lalu, sebanyak 466,421 unit rumah mampu milik atau 93.3% sudah siap, sedang dibina dan dirancang di seluruh negara.
“Tetapi kali ini, saya yakin di mana penghujung tahun ini, kita akan dapat capai 500,000 unit rumah mampu milik,” katanya semasa menjawab pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang menyatakan langkah kementerian itu untuk menangani isu harga rumah yang semakin melonjak dan membebankan bakal pemilik rumah terutama dalam kalangan generasi muda yang baru berkerjaya.
Selain itu, Nga berkata kerajaan komited untuk memastikan setiap rakyat mempunyai tempat tinggal sama ada secara pemilikan atau sewaan, sejajar dengan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM).
Katanya, KPKT juga berusaha mengimbangi antara keperluan menyediakan rumah mampu milik dengan harga mampu milik, tanpa mengenepikan aspek kualiti pemajuan rumah.
Tambahnya, kadar pemilikan rumah keluarga kini sudah mencapai 76.5% sehingga 2022.
“Di peringkat persekutuan, kita menyediakan RMM kepada rakyat melalui Program Perumahan Rakyat (PPR) atau Program Residensi Rakyat (PRR), Program Rumah Mesra Rakyat (RMR), Program Perumahan PR1MA dan kediaman SPNB.
“Selain KPKT, terdapat juga agensi-agensi penyedia perumahan di peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri yang turut menyediakan perumahan mampu milik. Antaranya Jabatan Perdana Menteri melalui Jabatan Wilayah Persekutuan yang melaksanakan Program Residensi Wilayah dan Residensi Madani,” katanya.
Tambahnya, hampir RM900 juta diperuntukkan bagi melaksanakan 48 PRR dan 14 projek RMR.