
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pihaknya belum menerima permohonan bagi cadangan kerjasama atau pencalonan yang dibuat oleh pertubuhan profesional itu yang berfungsi untuk pemuliharaan dan perlindungan tempat warisan budaya di seluruh negara.
“Bagaimanapun kementerian menyokong penuh usaha murni mana-mana pertubuhan profesional untuk mencalonkan mana-mana kampung memenuhi kriteria pencalonan UNESCO sebagai tapak warisan dunia.
“Ini kerana status sebagai tapak warisan dunia tidak hanya memberikan manfaat budaya dan sejarah, malah meningkatkan daya tarikan sesuatu tempat yang boleh membawa kepada peningkatan aktiviti pelancongan serta merta meningkatkan imej serta martabat negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) sama ada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah menghentikan cadangan menjadikan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan UNESCO.
Wakil rakyat PAS itu juga meminta Nga menjelaskan sama ada KPKT sudah memutuskan kolaborasi dengan pihak lain yang mempunyai usaha menjayakan agenda itu.
Tahun lalu, wujud polemik selepas Nga mencadangkan Kampung Baru Cina di Selangor dicalonkan sebagai tapak warisan Unesco yang menimbulkan bantahan termasuk daripada Umno serta pertubuhan mewakili Melayu.
Mereka menyifatkan cadangan itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.
Khuatir isu itu menjadi polemik dan salah tafsir pelbagai pihak, Nga tidak memanjangkan perkara terbabit dan mahu fokus kepada agenda lain yang lebih memberi faedah kepada rakyat.