15 mangsa tipu kerja Malaysia dijangka pulang dari Thailand minggu ini

15 mangsa tipu kerja Malaysia dijangka pulang dari Thailand minggu ini

Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand Bong Yik Jui berkata kedutaan sedang melengkapkan dokumentasi diperlukan.

Myanmar Thailand scam AFP 120225
Pihak berkuasa Myanmar menyelamatkan 260 mangsa penipuan kerja, termasuk 15 rakyat Malaysia, dari bandar sempadan KK Park dan Shwe Kokko baru-baru ini. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Proses penyelarasan Kedutaan Malaysia di Bangkok dan pihak berkuasa Thailand bagi membawa pulang 15 rakyat Malaysia yang diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar dijangka selesai minggu ini.

Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand, Bong Yik Jui, berkata Wisma Putra dan Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan memberi keutamaan tinggi terhadap perkara itu.

Beliau berkata, kedutaan di Bangkok bekerjasama erat dengan Kedutaan Malaysia di Yangon serta pihak berkuasa Thailand bagi memastikan proses penghantaran pulang berjalan lancar.

“Kedutaan sedang melengkapkan dokumentasi diperlukan, terutamanya bagi mereka yang tidak memiliki pasport atau tinggal melebihi tempoh visa.

“Sebaik saja semua persiapan selesai, proses penghantaran pulang akan dilaksanakan minggu ini,” katanya menurut Bernama.

Bong memberi jaminan 15 mangsa termasuk tiga wanita berusia 19 hingga 44 tahun itu dalam keadaan sihat dan kedutaan sudah menghubungi keluarga mangsa, manakala pihak berkuasa Thailand memastikan kebajikan mereka terjaga.

Tetapi, katanya, kedutaan Malaysia memohon pihak berkuasa Thailand membenarkan semua mangsa tinggal sementara di Kem Tentera Fort Vachiraprakan sebelum dihantar pulang.

Pada 12 Feb lalu, 15 rakyat Malaysia antara 260 warga asing yang menjadi mangsa sindiket pusat panggilan di Myawaddy, Myanmar dibebaskan pihak berkuasa negara itu dan dihantar ke Thailand untuk proses penghantaran pulang.

Pihak berkuasa Myanmar menyelamatkan mangsa dari KK Park dan Shwe Kokko, dua bandar sempadan terkenal dengan aktiviti pemerdagangan manusia, sebelum memindahkan mereka ke Thailand bagi proses dokumentasi dan penghantaran pulang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.