Suami isteri pemilik gerai jagung kontroversi ditahan

Suami isteri pemilik gerai jagung kontroversi ditahan

Polis berkata lelaki itu dibebaskan dengan jaminan manakala isterinya warga Indonesia direman kerana tinggal lebih masa.

tak jual jagung bakar
Penjual jagung di Sepang mencetuskan kontroversi apabila memaparkan papan tanda berbaur perkauman.
PETALING JAYA:
Polis menahan suami isteri pemilik gerai menjual jagung bakar di Kota Warisan, Sepang, berkait kontroversi papan tanda berunsur perkauman.

Timbalan Ketua Polis Sepang, G K Shan Gopal, berkata lelaki berusia lingkungan 60-an dan isterinya warga Indonesia berusia 50-an ditahan semalam, lapor Sinar Harian.

Katanya, lelaki itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis tetapi isterinya direman mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana didapati melakukan kesalahan tinggal lebih masa.

“Siasatan masih dijalankan untuk kenal pasti motif kejadian.

“Kita telah merekod keterangan tujuh saksi bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, NGO belia India menggesa pihak berkuasa tempatan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap papan tanda dipaparkan penjual itu.

Majlis Kelab Bell Belia Tamil Malaysia (MKBBT) mengecam sekeras-kerasnya papan tanda berbahasa Melayu berunsur perkauman terhadap kaum India, seperti dilihat dalam video di media sosial.

Semalam, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, gesa tindakan undang-undang dikenakan terhadap penjual jagung tersebut, walaupun lelaki itu sudah memohon maaf.

Katanya, tindakan undang-undang perlu diambil untuk dijadikan pengajaran kepada pihak lain.

Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, pada Isnin dilaporkan berkata penjual jagung itu sudah memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia, khasnya masyarakat India atas tindakannya.

Beliau berkata, lelaki itu juga berjanji tidak akan mengulangi tindakan sama kelak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.