Satelit penderiaan jauh negara dijangka operasi 2028

Satelit penderiaan jauh negara dijangka operasi 2028

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata pembayaran 'off-take' akan dibuat secara berkala berdasar jumlah data diterima dan diperakui kerajaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata kerajaan akan memastikan pembayaran berpatutan dan sepadan nilai data diperoleh, selain mendorong syarikat mengekalkan standard kualiti tinggi dalam penyampaian data satelit.
PETALING JAYA:
Program Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PSPJN) dijangka mula beroperasi 2028, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Menurutnya, pembayaran ‘off-take’ akan dibuat secara berkala berdasarkan jumlah data diterima dan diperakui kerajaan selepas satelit itu mula beroperasi.

“Pendekatan ini membolehkan kerajaan memastikan pembayaran berpatutan dan sepadan nilai data diperoleh, di samping mendorong syarikat mengekalkan standard kualiti tinggi dalam penyampaian data satelit.

“Keperluan ini akan diperhalusi lebih terperinci dengan syarikat pembida semasa memuktamadkan dokumen perjanjian konsesi,” katanya menurut Bernama pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) berhubung status semasa program PSPJN di bawah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan bilakah ia bersedia dilancarkan, susulan UzmaSAT-1, satelit beresolusi tinggi yang dilancarkan kumpulan UZMA Berhad tahun ini.

PSPJN adalah kesinambungan usaha kerajaan bagi memastikan keupayaan dan kapasiti negara dalam bidang teknologi angkasa terus diperkasa selaras pelaksanaan Dasar Angkasa Negara 2030.

Tujuan pelaksanaan PSPJN antara lain untuk memperkasa pemilikan data strategik negara melalui pengendalian sendiri satelit, mengurangkan kebergantungan kepada sumber data dan teknologi satelit luar serta memastikan kedaulatan dan keselamatan diperkukuhkan melalui sektor teknologi angkasa.

Chang berkata, kerajaan dalam fasa rundingan dengan syarikat pembida terpilih bagi memastikan setiap keperluan projek dipenuhi secara sistematik dan menyeluruh.

Dalam usaha menjamin keberkesanan dan kejayaan PSPJN, katanya, kerajaan bersama syarikat pembida akan mengadakan Makmal Pengurusan Nilai mulai hari ini hingga Jumaat (21 Feb).

“Makmal ini akan menjadi platform untuk membincangkan secara mendalam aspek pelaksanaan projek, dengan penekanan terhadap pengoptimuman kos dan sumber serta pelaksanaan langkah mitigasi awal bagi mengurus sebarang risiko yang mungkin timbul.”

Menjawab soalan tambahan Young Syefura mengenai status kesiapsiagaan negara dalam konteks penyertaan atau ratifikasi triti di bawah United Nations Committee on Peaceful Uses of Outer Space, Chang berkata, mesyuarat Lembaga Angkasa Malaysia bersetuju untuk negara meratifikasi dan menyertai dua triti angkasa.

Dua triti angkasa itu ialah Treaty on Principles Governing the Activities of States in the Exploration and Use of Outer Space, including the Moon and Other Celestial Bodies 1967 dan Convention on Registration of Objects Launched into Outer Space 1975.

Ahli Parlimen Tanjong Malim itu berkata, penyertaan Malaysia dalam dua triti itu langkah utama untuk mempamerkan ketelusan negara dalam menguruskan program angkasa yang sentiasa menekankan aspek keselamatan serta berfokuskan keamanan.

“Penyertaan ini juga selaras usaha dan komitmen melindungi kepentingan negara serta memberi isyarat diplomatik jelas kepada seluruh dunia, termasuk Asean bahawa Malaysia komited menjadi negara bertanggungjawab terhadap aktiviti angkasanya.

“Ini akan meningkatkan reputasi Malaysia sebagai negara angkasa baharu, Space Emerging Countries, selain mampu menjadi instrumen keselamatan negara, khususnya daripada insiden angkasa lepas.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.