
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata dana itu melibatkan kutipan levi daripada syarikat mengendalikan bahan radioaktif, untuk digunakan bagi pelupusan serta pengurusan jangka panjang sisa berkenaan, terutama apabila syarikat terbabit menyerahkan lesen atau muflis.
“Skop penggunaan dana ini juga boleh diperluaskan kepada pihak awam yang terkesan akibat insiden nuklear.
“Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kebertanggungjawaban pihak industri dalam aspek pengurusan sisa radioaktif,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.
Chang berkata pemegang lesen masih diwajibkan membayar deposit atau mendapatkan perlindungan insurans.
Akta itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984, turut diberi nama baharu – Akta Tenaga Atom – dengan menambah tempoh lesen sehingga 40 tahun, hukuman lebih berat, serta penguatkuasaan lebih baik.
S Kesavan (PH-Sungai Siput) menyuarakan kebimbangan mengenai tempoh lesen 40 tahun dan mempersoalkan keputusan memansuhkan lembaga perlesenan serta menggantikannya dengan majlis penasihat.
Beliau juga bertanya bagaimana orang awam boleh merayu keputusan pemberian lesen serta sama ada mereka yang terdedah kepada radiasi boleh mendapat pampasan, sambil menegaskan tempoh lesen yang panjang menyukarkan pemantauan syarikat terbabit.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) pula menyifatkan undang-undang itu bagus tetapi tiada perincian mengenai pembangunan tenaga nuklear.
Katanya, nama akta itu juga mengelirukan kerana ia hanya mengawal selia bahan radioaktif dan aspek keselamatan, tetapi tidak menyentuh tentang penjanaan tenaga nuklear itu sendiri.
“RUU ini tidak cukup lengkap sebagai kerangka undang-undang. Perlu ada klausa yang jelas, termasuk peruntukan bagi kelulusan pembinaan atau operasi loji kuasa nuklear,” katanya.
Menurutnya, keputusan untuk meneroka tenaga nuklear memerlukan lebih daripada input teknikal kementerian sains, sebaliknya turut melibatkan aspek keselamatan negara dan dasar luar, terutama dalam mempertahankan Selat Melaka.
Wan Fayhsal berkata lawatan perdana menteri ke Rusia baru-baru ini juga boleh membuka jalan untuk memilih rakan strategik dalam pembangunan nuklear.