
Tertuduh, Katika Dewiana Bacho, 37, mengaku tidak bersalah selepas semua tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga, lapor Berita Harian.
Mengikut pertuduhan, Katika didakwa memperoleh wang tunai untuk dirinya sendiri berjumlah RM14,250 yang dipindahkan daripada akaun bank milik Eryano Jabar, 58.
Tertuduh menerima wang itu sedangkan mengetahui Eryano berperanan menguruskan warga asing melepasi kaunter pemeriksaan Imigresen di Lapangan Terbang Tawau ke Kuala Lumpur.
Katika sebagai Pegawai Imigresen Gred KP19 didakwa melakukan perbuatan itu di kaunter pemeriksaan Imigresen di Lapangan Terbang Tawau sepanjang tempoh antara Jan hingga Mac 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsham Saharom menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan beberapa syarat tambahan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh Nur Hafizah Husna Elahab memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM3,000 dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama kepada SPRM sepanjang proses siasatan.
“Tertuduh sudah berkhidmat selama 15 tahun dan tiada risiko untuk melarikan diri sebagaimana kehadirannya di Mahkamah hari ini,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula 11 Mac ini.