Akur tuntutan atau berdepan protes lebih besar, kata penganjur himpunan antirasuah

Akur tuntutan atau berdepan protes lebih besar, kata penganjur himpunan antirasuah

Sekretariat Rakyat Benci Rasuah menyerahkan memorandum mengandungi tuntutan mereka kepada Ahli Parlimen berhampiran bangunan Parlimen.

SEKRETARIAT RAKYAT BENCI RASUAH MEMORANDUM - JALAN PARLIAMEN
Setiausaha Sekretariat Rakyat Benci Rasuah Zaim Zulkifli (empat dari kanan) menyerahkan memorandum bagi pihak kumpulan itu kepada Ahli Parlimen Sungai Petani Taufiq Johari.
KUALA LUMPUR:
Penganjur himpunan antirasuah bulan lepas memberi amaran bahawa himpunan lebih besar akan diadakan sekiranya tuntutan pembaharuan mereka terus diabaikan oleh kerajaan.

Setiausaha Sekretariat Rakyat Benci Rasuah Zaim Zulkifli berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kumpulan itu kepada Ahli Parlimen Sungai Petani Taufiq Johari, dengan kehadiran 15 lagi Ahli Parlimen kerajaan.

“Jika anda terus berdegil dan tidak memberi respons, kami akan turun ke jalanan lagi – dengan jumlah lebih besar, intensiti lebih tinggi, dan momentum yang tidak dapat dihentikan,” katanya pada sidang media berhampiran bangunan Parlimen.

Zaim menegaskan, mereka tidak menuduh kerajaan terlibat dalam rasuah, tetapi kegagalan bertindak seolah-olah menunjukkan Pakatan Harapan bersubahat dengan membiarkan rasuah terus berlarutan.

“Kepada (Perdana Menteri) Anwar Ibrahim, jangan biarkan slogan ‘Reformasi’ jadi sia-sia. Rakyat pilih anda dan parti anda dengan harapan Malaysia dapat diselamatkan daripada rasuah,” katanya.

Memorandum itu menggariskan tiga tuntutan utama iaitu mempercepatkan pemisahan Jabatan Peguam Negara dan pejabat timbalan pendakwa raya daripada Jabatan Perdana Menteri, menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan bebas sepenuhnya dan memperkenalkan akta pendanaan politik.

Tuntutan itu dikemukakan sekretariat itu dalam satu himpunan awal tahun ini, yang menyaksikan lebih 200 peserta berarak dari kompleks beli-belah Sogo ke Dataran Merdeka bagi mendesak tindakan lebih tegas terhadap rasuah.

Menurut kumpulan itu, tuntutan mereka adalah berdasarkan cadangan yang dibentangkan oleh Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia mengenai Integriti, Tadbir Urus dan Anti-Rasuah.

Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh, yang turut hadir, berkata usaha sekretariat itu menjadi peringatan kepada semua wakil rakyat untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh integriti.

Beliau juga berkata, kerajaan dan perdana menteri akan mempertimbangkan tuntutan itu.

“Rasuah ialah masalah yang mesti kita tangani dan kita perlu pastikan ia diuruskan dengan betul. Saya ingat beritahu pelajar ini bahawa usaha sedang dilakukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.