
Bagaimanapun, tindakan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu dibantah Ahli Parlimen kerajaan kerana berpandangan Wan Fayhsal tidak mempunyai ‘standard’ dan membuat dakwaan jahat di Dewan Rakyat.
Ketika membahaskan titah diraja, Wan Fayhsal mendakwa Anwar gagal menarik pelaburan dan mencipta pekerjaan berkualiti walaupun melantik kroni dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC)
“Di bawah Tambun (Ahli Parlimen Tambun, Anwar), Malaysia gagal mencipta pekerjaan berkualiti. Yang kaya hanya kroni dan kapitalis besar,” dakwanya.
Beliau turut mendakwa, penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ada hubungan dengan BlackRock.
Selain itu, Wan Fayhsal menyentuh titah adendum bekas perdana menteri Najib Razak bagi menghabiskan baki hukuman penjara bawah tahanan rumah.
Namun, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Syahredzan Johan tidak membenarkan Wan Fayhsal menyentuh perkara itu atas keputusan Speaker Johari Abdul sebelum ini.
Dewan terus kecoh apabila Wan Fayhsal mendakwa, Anwar meneruskan ‘politik naungan lapuk’ Umno dan Barisan Nasional (BN) yang tidak memberi peruntukan di Kelantan termasuk di kawasannya Machang.
Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) kemudian mencelah dengan berkata, Wan Fayhsal membuat sangkaan jahat dan tuduhan kepada MAHB tidak patut dilemparkan kerana syarikat itu tidak boleh menjawab di Dewan Rakyat.
“Jangan baling batu sembunyi tangan. Jangan takut dan tipu rakyat,” katanya.
Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) turut mempersoalkan atas dasar apa dakwaan itu dibuat Wan Fayhsal.
“Kelantan antara terbanyak dapat peruntukan oleh kerajaan persekutuan,” katanya.
Syahredzan kemudian mententeramkan keadaan dan meminta semua Ahli Parlimen bertenang.
“Kita semua orang bertamadun, kalau nak cakap minta laluan dulu dan jangan bangkitkan isu titah adendum lagi. Saya tidak benarkan bahas isu titah adendum buat masa ini kerana sudah ada ‘ruling’ dibuat oleh speaker.
“Jika tidak berpuas hati boleh buat usul berhubung perkara ini,” katanya.