Kes Sulu: Mahkamah Sepanyol kekal pembatalan pelantikan penimbang tara

Kes Sulu: Mahkamah Sepanyol kekal pembatalan pelantikan penimbang tara

Mahkamah Tinggi Madrid turut memerintahkan pihak yang menuntut membayar kos kepada kerajaan Malaysia.

Gonzalo Stampa
Mahkamah Tinggi Madrid menolak cubaan pihak yang menuntut untuk membatalkan pembatalan pelantikan Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Madrid mengekalkan keputusan pada 2021 untuk membatalkan pelantikan Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara dalam kes terhadap Malaysia yang dibawa oleh individu-individu yang mendakwa diri mereka pewaris kesultanan Sulu.

Menurut kenyataan urusetia khas kerajaan bagi kes tersebut, mahkamah juga menolak cubaan pihak yang menuntut untuk membatalkan pembatalan pelantikan Stampa.

Dalam keputusannya pada 11 Feb lalu itu, mahkamah turut memerintahkan pihak yang menuntut membayar kos kepada kerajaan Malaysia.

“Keputusan ini mengesahkan bahawa pembatalan yang diminta oleh pihak yang menuntut itu ‘tidak mempunyai ketelitian dan konsistensi pembuktian minimum’, kerana ia berdasarkan pendapat dan spekulasi suatu artikel akhbar, bukan bukti sebenar,” kata urusetia itu.

“Mahkamah Tinggi Madrid juga secara jelas menunjukkan bahawa majistretnya tidak ditekan, dan mereka juga tidak membenarkan diri mereka ditekan dalam apa cara sekalipun.

“(Mahkamah juga berkata) bahawa keputusan untuk membatalkan pelantikan kehakiman Stampa sebagai penimbang tara adalah berdasarkan semata-mata dan eksklusif atas alasan undang-undang yang terkandung dalam keputusan 2021, yang muktamad dan mengikat sejak ia dikeluarkan.”

Stampa dilantik sebagai penimbang tara dalam kes itu pada 2019, tetapi pelantikannya dibatalkan pada 2021 selepas Mahkamah Tinggi Madrid memutuskan bahawa Malaysia, sebagai sebuah negara asing, telah dipanggil secara tidak wajar ke prosiding pelantikan penimbang tara.

Bagaimanapun Stampa terus mendengar kes itu, dengan memindahkan tempat timbang tara ke Paris. Pada Feb 2022, Stampa mengarahkan Putrajaya melalui mahkamah timbang tara Perancis untuk membayar USD14.92 bilion kepada individu-individu yang mendakwa diri mereka keturunan sultan Sulu terakhir.

Stampa memutuskan bahawa Malaysia melanggar perjanjian 1878 antara kerajaan Sulu lama di Filipina dan wakil Syarikat Borneo Utara British yang pernah mentadbir kawasan yang kini dikenali sebagai Sabah.

Berikutan keputusan itu, pihak yang menuntut cuba mendapatkan aset milik kerajaan Malaysia dan syarikat milik kerajaan.

Malaysia mencabar perintah timbang tara di Perancis dan Sepanyol itu, dengan mahkamah Perancis memberikan perintah penangguhan terhadap award itu, sementara menunggu keputusan mengenai dakwaan Putrajaya bahawa perintah itu melanggar kedaulatannya ke atas Sabah.

Ini membawa kepada keputusan pada Dis 2023 oleh mahkamah jenayah Madrid yang mendapati Stampa bersalah kerana menghina mahkamah.

Pada Mei 2024, Mahkamah Rayuan Madrid mengekalkan keputusan Dis 2023, mengesahkan hukuman penjara enam bulan dan larangan mengamal khidmat penimbang tara selama satu tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.