Kes Sulu: Malaysia mahu Stampa dipenjara, kata Azalina

Kes Sulu: Malaysia mahu Stampa dipenjara, kata Azalina

Azalina Othman Said berkata keputusan mahkamah dalam kes itu penting kerana dapat mematikan semua tuntutan kumpulan Sulu yang amat merepek.

Azalina Othman Said berkata Gonzalo Stampa yang didakwa di Mahkamah Madrid kerana menghina dan mengingkari arahan mahkamah wajar dihukum penjara. (Gambar Azalina Othman)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan Malaysia mahu Mahkamah Madrid menjatuhkan hukuman penjara ke atas Gonzalo Stampa yang didakwa menghina mahkamah dan berulang kali mengingkari perintah mahkamah membatalkan pelantikannya sebagai penimbang tara dalam kes pertikaian Sulu.

Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkata keputusan mahkamah dalam kes itu amat penting kerana ia memberikan kekuatan lebih kepada Malaysia untuk mematikan semua tuntutan kumpulan Sulu yang disifatkan amat merepek.

“Keputusan ini juga sebagai jaminan untuk kita mematikan sebarang tuntutan (sama) di mana-mana negara yang berkemungkinan timbul selepas ini.

“Keduanya, saya berharap kalau boleh dia dipenjara bukan sahaja didenda sebab perangai dia betul-betul kurang ajar dan biadab kepada Malaysia,” katanya pada sidang media dalam talian selepas menghadiri prosiding perbicaraan jenayah Stampa di Mahkamah Madrid.

Pada 25 Mei 2020, Stampa memberikan award akhir USD14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada lapan individu mendakwa waris Sultan Sulu.

Dalam usaha menguatkuasakan award itu, mereka dilaporkan cuba menyita aset syarikat petroleum Malaysia, Petronas di Luxembourg serta Belanda, selain menyasarkan aset diplomatik negara di Perancis (termasuk kedutaan).

Azalina berkata, mahkamah menangguhkan keputusan kes itu ke tarikh lain yang belum ditetapkan.

Beliau berkata, Pejabat Pendakwa Raya Sepanyol dan Malaysia menuduh Stampa melakukan jenayah menghina mahkamah yang serius serta melakukan amalan profesional tanpa kelayakan.

“Semua pertuduhan ini berdasarkan fakta Stampa secara terbuka dan dengan sengaja mengingkari beberapa perintah yang mengikat daripada Mahkamah Tinggi Madrid.”

Katanya, Mahkamah Tinggi Madrid pada 29 Jun 2021 mengeluarkan penghakiman selaras undang-undang kes terbabit dan memutuskan sebagai negara asing, Malaysia dipanggil secara tidak wajar dalam prosiding pelantikan penimbang tara.

“Justeru, mahkamah itu membatalkan pelantikan Stampa dan semua tindakannya serta mengarahkan Malaysia dipanggil secara wajar, manakala prosiding timbang tara itu dimulakan kembali. Perintah pembatalan pelantikan Stampa kemudian dikekalkan Mahkamah Perlembagaan Sepanyol, selepas warga Filipina itu gagal dalam rayuan mereka.”

Azalina berkata, susulan pembatalan pelantikan Stampa itu, Mahkamah Tinggi Madrid berulang kali memerintahkan beliau secara bertulis segera menamatkan timbang tara berkenaan.

“Bagaimanapun, Stampa enggan mematuhi perintah mahkamah dan mengingkarinya secara terang-terangan, sekali gus menjejaskan kedaulatan undang-undang.

“Bagi memenuhi agenda jahat dan tidak beretikanya, Stampa sengaja tidak mengendahkan perintah Mahkamah Tinggi Madrid serta memindahkan timbang tara itu dari Madrid ke Paris atas permintaan warga Filipina terbabit bagi mengelak pengawasan Mahkamah Sepanyol, di mana beliau berjanji mematuhi arahan ketika mula dilantik sebagai penimbang tara.”

Katanya, sebelum mengumumkan award akhir terhadap Malaysia dan sebagaimana dibuktikan melalui dokumen di depan mahkamah, Stampa menerima bayaran lebih USD2.5 juta daripada warga Filipina terbabit.

Pada Disember 2021, selepas pemindahan prosiding timbang tara dari Sepanyol ke Perancis yang tidak pernah berlaku, Malaysia dengan keyakinan penuh dan tidak berbelah bagi terhadap sistem keadilan Sepanyol, memfailkan aduan terhadap Stampa bersama pendakwa raya Sepanyol atas alasan beliau menghina mahkamah kerana berulang kali mengingkari perintah Mahkamah Tinggi Sepanyol dan meneruskan tindakannya membeli forum di negara lain.

Azalina berkata, memandangkan fakta dilapor telah dipertikai Stampa sendiri, pendakwa raya Madrid memfailkan aduan terhadapnya kerana menghina mahkamah dan bagi kesalahan jenayah melibatkan diri dalam amalan tanpa kelayakan.

“Stampa tidak akan diadili mahkamah jenayah Sepanyol kerana bertindak sebagai penimbang tara, sebaliknya kerana menghina mahkamah secara serius dengan mengingkari perintah langsung Mahkamah Tinggi Madrid yang mengikat semua warganegara itu tanpa mengira aktiviti profesional mereka.

“Tindakannya menimbulkan kebimbangan, khususnya keperluan untuk menegakkan tataamalan beretika, integriti, profesionalisme dan amalan baik oleh penimbang tara, iaitu asas kepada mana-mana timbang tara sah.

“Ini penting bagi memelihara keyakinan mana-mana pihak yang memilih timbang tara untuk menyelesaikan pertikaian mereka dan jika gagal, boleh menyebabkan keseluruhan platform penyelesaian pertikaian secara alternatif terjejas serta terancam.”

Katanya, Malaysia meletakkan kepercayaan penuh terhadap sistem keadilan jenayah Sepanyol dan kepentingan semua prosiding ini dalam menegakkan keluhuran timbang tara antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.