Penimbang tara kes Sulu didapati bersalah hina mahkamah

Penimbang tara kes Sulu didapati bersalah hina mahkamah

Mahkamah di Sepanyol menjatuhi hukuman penjara ke atas Gonzalo Stampa dan melarang beliau berkhidmat sebagai penimbang tara selama setahun.

Penimbang tara Gonzalo Stampa dituduh menghina mahkamah bulan lalu.
PETALING JAYA:
Penimbang tara yang mencetuskan kontroversi apabila memerintahkan Malaysia membayar USD14.92 bilion kepada sekumpulan individu yang mendakwa diri mereka waris Kesultanan Sulu, didapati bersalah atas tuduhan menghina mahkamah oleh mahkamah di Sepanyol.

Mahkamah turut menjatuhi hukuman penjara enam bulan ke atas Gonzalo Stampa, dan melarang beliau berkhidmat sebagai penimbang tara selama setahun, menurut Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said.

Azalina berkata usaha kerajaan menangani dan menghentikan penipuan oleh kumpulan Sulu itu tidak sia-sia.

“Kita akan terus berjuang menegakkan keadilan, dan akan meneruskan usaha membatalkan award terakhir,” kata Azalina di X (dahulunya Twitter).

Stampa dituduh di mahkamah Madrid pada Disember atas tuduhan menghina mahkamah dan melampaui khidmat profesionalnya kerana mengingkari keputusan mahkamah Madrid membatalkan kes kumpulan Sulu terbabit.

Tuduhan dikemukakan oleh pejabat pendakwa raya awam Sepanyol, dengan kerajaan Malaysia selaku pengadu.

Meskipun sebelum ini mahkamah tinggi di Madrid melantik Stampa sebagai penimbang tara dalam kes tuntutan itu, ia membatalkan pelantikannya pada Jun 2021.

Stampa bagaimanapun terus membicarakan kes itu, dengan berpindah ke mahkamah timbang tara di Paris, Perancis.

Pada Februari 2022, timbang tara yang dihakimi Stampa memerintahkan Putrajaya membayar USD14.92 bilion kepada kumpulan yang mendakwa diri mereka waris Kesultanan Sulu.

Stampa mendakwa Malaysia melanggar perjanjian 1878 antara kerajaan lama Sulu di Filipina dengan wakiil Syarikat Borneo Utara British yang Sabah ketika itu.

Malaysia mencabar perintah Stampa itu di Perancis dan Sepanyol. Mahkamah di Perancis membenarkan perintah award itu digantung, sementara menunggu keputusan mahkamah ke atas tuntutan Putrajaya, yang mahu perintah itu diisytiharkan sebagai melanggar kedaulatannya ke atas Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.