Kenyataan Azalina ‘kurang tepat’ berkait lesen Petronas, kata Abang Jo

Kenyataan Azalina ‘kurang tepat’ berkait lesen Petronas, kata Abang Jo

Premier Sarawak berkata beliau akan terus mengadakan perbincangan dengan perdana menteri berkait hak minyak dan gasnya.

oil rig
Sarawak mengulangi mempunyai hak penuh terhadap sumber minyak dan gas yang ada dalam wilayahnya. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Premier Sarawak Abang Johari Openg menyifatkan seorang menteri persekutuan membuat kenyataan “kurang tepat” berkait hak Sarawak menguruskan rizab minyak dan gasnya.

Abang Johari berkata, kenyataan Azalina Othman Said “nampak kurang tepat”, lapor Utusan Sarawak. “Biarlah saya terus berunding dengan perdana menteri,” katanya dipetik.

Beliau mengulangi Sarawak mempunyai hak penuh terhadap sumber gas yang ada dalam wilayahnya.

Abang Johari mengulas jawapan menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi) di Parlimen oleh Azalina awal bulan ini, bahawa Petronas dan anak syarikat tidak memerlukan lesen beroperasi di Sarawak.

Katanya, syarikat itu tidak perlu mematuhi prosedur tambahan menjalankan operasinya melebihi apa ditetapkan dalam Akta Pembangunan Petroleum. Azalina berkata, persetujuan itu dicapai antara Abang Johari dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pertemuan pada Januari.

Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai hak penuh terhadap sumber gasnya berdasarkan undang-undang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Katanya, sebarang aktiviti penggalian minyak dan gas di negeri itu perlu mendapat kelulusan kerajaan Sarawak.

“Sebelum awak korek (minyak dan gas), awak mesti ada sijil daripada negeri. Ini Perlembagaan. PDA (Akta Pembangunan Petroleum) itu adalah subordinat kepada Perlembagaan.”

Ulasan Abang Johari timbul selepas sehari bekas peguam besar Sarawak, JC Fong, berkata Azalina tidak mendapatkan pengesahan daripada premier bahawa beliau telah menerima PDA mentadbir industri petroleum negeri.

Fong berkata, Azalina tidak hadir pada pertemuan Abang Johari dan Anwar, menjadikan kenyataan dibuat dalam Parlimen dianggap khabar angin.

Pada 12 Feb, Abang Johari berkata masih terdapat perkara perlu diselesaikan antara Petronas dan syarikat minyak negeri, Petros, melibatkan hak minyak dan gas Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.