
“Dia dipenjarakan dua kali kerana fahaman politik dan perjuangannya untuk keadilan. Namun, ada yang menuduhnya mahu mewujudkan Dinasti Lim,” kata Guan Eng pada majlis makan malam sempena ulang tahun ke-84 Kit Siang.
“Tetapi apabila dia masuk penjara, tiada siapa yang menyebut tentang Dinasti Lim,” katanya, sambil menambah tidak ada yang menyebutnya apabila dia sendiri dipenjarakan.
Kit Siang dipenjarakan dua kali bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini dimansuhkan, pada 1969 dan 1987.
Guan Eng dipenjarakan selama 18 bulan pada 1998 atas tuduhan menghasut berhubung artikel mengenai seorang gadis berusia 15 tahun yang didakwa dirogol oleh seorang ahli politik. Hukuman itu melucutkan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen dan menghalangnya daripada berpolitik hingga 2008.
DAP sering digelar ‘Dinasti Lim’ oleh seteru politik yang merujuk kepada pengaruh Kit Siang dan Guan Eng dalam parti dari 1970 hingga 2022.
Tambahan pula, dengan kehadiran adik perempuan Guan Eng, Hui Ying dalam politik negara sebagai timbalan menteri dan pemimpin parti di Pulau Pinang, dakwaan itu terus dibangkitkan.
Pada majlis makan malam tadi, Ketua DAP Pulau Pinang Steven Sim memuji Kit Siang sebagai ‘tidak tamak’ kerana menolak jawatan menteri pada masa lalu untuk memberi peluang kepada pemimpin muda berkembang.