
Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim memberitahu FMT, kenyataan bahawa Sarawak tidak tahu tentang akta tersebut adalah ‘tidak berasas’ kerana ketua menteri Sarawak ketika itu, Abdul Rahman Yakub, banyak terlibat.
Zaid berkata, komen Fong ialah dakwaan yang serius.
“Bagaimana sesuatu sebegini serius hanya didedahkan selepas lima dekad berlalu?” soal Zaid.
Dayak Daily semalam melaporkan Fong berkata, undang-undang itu digubal secara rahsia oleh menteri kewangan ketika itu, Tengku Razaleigh Hamzah dan sekutunya, mengikut arahan perdana menteri ketika itu, Abdul Razak Hussein, menjelang pilihan raya umum pada 1974.
Menurut Fong, Sarawak dikemukakan dengan fait accompli dan terpaksa menandatangani perjanjian menerima bayaran tunai 5% untuk meletakkan semua sumber petroleumnya bawah Petronas.
Bagaimanapun, Zaid berkata, tidak ada sebab untuk Tengku Razaleigh berbohong mengenai perkara itu, dan menggesa Fong agar tidak cuba mengubah fakta sejarah ‘demi semangat perpaduan dan niat baik dalam perbincangan kita’.
Tengku Razaleigh sebelum ini berkata dalam wawancara bersama FMT bahawa Abdul Rahman ‘memainkan peranan penting’ dalam penggubalan Akta 144, yang memberikan Petronas hak mengeksploitasi rizab minyak dan gas di seluruh Malaysia, walaupun eksploitasi hak galian dikhususkan buat negeri-negeri.
Sarawak telah menegaskan bahawa hak galiannya ditadbir oleh Ordinan Perlombongan Minyak 1958 yang mendahului Akta 144.
Minggu lepas, Dewan Rakyat diberitahu bahawa Sarawak telah menerima Akta 144 sebagai akta mentadbir operasi industri petroleum di Malaysia, bukan ordinan negeri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, perkara itu antara yang dipersetujui dalam pertemuan antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Abang Johari Openg pada 7 Jan lepas.
Menteri itu juga berkata, Petronas telah menerima peranan Petros sebagai agregator gas tunggal bukan gas asli cecair (LNG).
Bagaimanapun, Fong mempertikaikan bahawa Azalina tidak hadir pada pertemuan antara Abang Johari dan perdana menteri, menjadikan komennya hanya khabar angin Parlimen.
“Tiada bukti perdana menteri setuju bahawa Petroleum Sarawak Bhd (Petros) hanya boleh mengagihkan 6% gas. (Azalina) tidak hadir pada pertemuan itu,” katanya pada forum ‘Fifty Shades of Federalism’ semalam.
“Apa yang dikatakannya di Parlimen hanya khabar angin. Beliau sepatutnya ada budi bicara untuk rujuk Abang Johari atau pejabatnya untuk memastikan apa yang dipersetujui.”