Tiada perbincangan pakatan dengan Warisan, kata Umno Sabah

Tiada perbincangan pakatan dengan Warisan, kata Umno Sabah

Ketua Penerangan Suhaimi Nasir sangkal spekulasi bahawa kedua-dua parti akan bekerjasama menjelang PRN akan datang.

Suhaimi Nasir
Ketua Penerangan Umno Sabah Suhaimi Nasir berkata, parti itu telah ‘bersiap siaga dengan strategi tersendiri’ untuk menghadapi segala kemungkinan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Umno Sabah menegaskan pihaknya tidak mengadakan perbincangan rasmi dengan Warisan berhubung kerjasama pada PRN yang akan diadakan hujung tahun ini.

Ketua Penerangan Umno Sabah Suhaimi Nasir berkata, parti itu belum memutuskan sama ada akan membentuk pakatan dengan mana-mana parti politik lain di negeri itu menjelang pilihan raya.

“Segala laporan yang tular hanyalah spekulasi dan tidak mewakili pendirian rasmi Umno Sabah,” katanya dalam kenyataan.

“(Kami) kekal fokus dalam memperkukuh parti serta memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah.”

Tambah Suhaimi, parti itu telah ‘bersiap siaga dengan strategi tersendiri’ untuk menghadapi segala kemungkinan, dan yakin ia akan kekal sebagai pilihan utama pengundi di negeri itu.

Semalam, Warisan turut menafikan telah mencapai persefahaman dengan Barisan Nasional (BN) Sabah berhubung peruntukan kerusi pada PRN akan datang, lapor Bernama.

Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking berkata, dakwaan yang dibuat oleh sebuah portal berita mengenai persefahaman antara Warisan dan BN Sabah hanya spekulasi dan andaian.

“Saya terima banyak panggilan serta pesanan WhatsApp daripada wartawan, ahli Warisan dan orang awam yang bertanyakan sama ada benar bahawa satu persefahaman pilihan raya antara Warisan dan Sabah dibuat.

“Saya mengesahkan di ini, tidak ada sebarang persefaman pilihan raya dibuat antara Warisan dan BN Sabah termasuk dengan mana-mana parti politik lain,” katanya dalam kenyataan.

Leiking berkata, biro politik dan Majlis Tertinggi parti tidak membincangkan sebarang cadangan untuk pakatan pilihan raya antara Warisan dan parti politik lain.

Pada Khamis, Warisan dan BN Sabah dilapor mengadakan perbincangan untuk mencapai kompromi bagi PRN akan datang, mendakwa kedua-dua parti mungkin mengelak bersaing sesama sendiri di 50 daripada 73 kerusi DUN.

Kerajaan Sabah mempunyai masa hingga Oktober sebelum DUN mesti dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.