PBB lebih 50 tahun berkuasa, ambil iktibar nasib Parti Kongres India, LDP Jepun

PBB lebih 50 tahun berkuasa, ambil iktibar nasib Parti Kongres India, LDP Jepun

Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata dua parti itu pernah dominan namun kini berdepan isu sokongan rakyat.

abang johari openg
Presiden PBB Abang Johari Openg, berkata parti hayatnya panjang perlu sedia terima perubahan untuk kekal relevan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu bersifat terbuka kepada sebarang perubahan untuk kekal relevan walaupun telah menerajui kerajaan Sarawak lebih 50 tahun.

Presiden Abang Johari Openg, berkata ahli perlu mengambil iktibar kemelut perjalanan politik Parti Kongres di India dan Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun.

Beliau yang juga premier Sarawak, berkata kedua-dua parti berkenaan pernah menjadi dominan di negara masing-masing, namun kini berdepan isu sokongan rakyat.

“Kita (PBB) mempunyai banyak rujukan dalam persoalan relevan ini, parti yang hayatnya panjang tetapi kepercayaan luntur seperti Parti Kongres dan LDP.

“Parti itu berdepan cabaran kebolehpercayaan dan kepercayaan semakin luntur yang memberi kesan,” katanya menurut Bernama selepas Majlis Perasmian Perhimpunan Agung ke-16 PBB, di Kuching.

Abang Johari berkata, selain faktor sokongan menyebabkan sesuatu parti hilang dominasi, faktor dalaman parti juga penting dalam menentukan kelangsungan parti.

“Syukur di dalam PBB sudah ada budaya antara pemimpin sayap Pesaka dan Bumiputera yang telah wujud sekian lama. Sebab itu pemimpin-pemimpin muda PBB perlu faham budaya ini, mereka perlu faham bahawa kestabilan politik penting,” katanya.

PBB terbahagi kepada dua sayap iaitu sayap Bumiputera yang terdiri daripada Melayu dan Melanau, manakala sayap Pesaka terdiri Iban, Bidayuh, dan Orang Ulu.

Seramai lebih 4,000 perwakilan menghadiri perhimpunan agung itu yang berlangsung dari 14 hingga 16 Feb.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.