Didik penjawat awam etika penggunaan AI, kata pakar

Didik penjawat awam etika penggunaan AI, kata pakar

Ahli akademik berkata kerajaan mesti memastikan semua keputusan AI boleh dikesan dan diaudit, dan mewujudkan saluran salamat untuk melaporkan salah laku.

penjawat awam
Lebih 400,000 penjawat awam diberi akses kepada alat AI yang dikuasakan Google Gemini menerusi inisiatif Kementerian Digital dengan kerjasama Google Cloud. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pakar teknologi menggesa kerajaan mendidik penjawat awam mengenai etika penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi mengelakkan teknologi itu disalah guna.

Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (Pikom) dan Nooraziah Ahmad dari Universiti Malaysia Kelantan setuju AI boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.

Bagaimanapun, teknologi itu tetap berpotensi untuk disalahgunakan, sama ada secara sengaja atau tidak.

Pengerusi Pikom, Alex Liew, berkata seperti teknologi lain, penyalahgunaan AI berpunca daripada faktor manusia, bukan alat itu sendiri. Oleh itu, latihan yang betul dalam etika AI amat diperlukan.

“Kesedaran dan latihan berterusan mengenai etika dan tadbir urus AI, seperti digariskan dalam Garis Panduan Kebangsaan mengenai Tadbir Urus dan Etika AI 2024 perlu diperkukuh bagi memastikan penggunaan yang bertanggungjawab,” katanya kepada FMT.

Nooraziah berkata, etika AI perlu diajar sebelum penjawat awam dilatih dalam penggunaan teknologi itu. Katanya, perlu ada garis panduan kebangsaan yang standard bagi membentuk rangka kerja kukuh dalam penggunaan AI berkesan dan beretika.

“Penyalahgunaan boleh membabitkan penjanaan bentuk kandungan tidak wajar, pengendalian data sensitif yang salah atau penggunaan AI yang menjejaskan standard etika. Untuk mencegahnya, kerajaan boleh mengintegrasikan garis panduan ini ke dalam program latihan penjawat awam,” katanya.

Pensyarah kanan teknologi kreatif itu turut mencadangkan kerajaan memastikan semua keputusan AI boleh dijelaskan, dikesan dan diaudit. Semakan terhadap alat AI juga perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti sebarang isu lebih awal.

“Kerajaan juga harus menyediakan saluran selamat untuk melaporkan penyalahgunaan AI tanpa sebarang risiko tindakan balas,” katanya.

Setakat ini, lebih 400,000 penjawat awam diberi akses kepada alat AI yang dikuasakan oleh Google Gemini menerusi inisiatif Kementerian Digital dengan kerjasama Google Cloud.

Kata kementerian itu, 97% daripada 270 peserta program perintis mendapati alat AI membantu mereka menjimatkan masa sehingga 3.25 jam setiap seorang, manakala 91% berkata teknologi itu meningkatkan kualiti kerja mereka.

Nooraziah dan Liew memuji inisiatif itu, dengan menyatakan ia dapat memudahkan proses kerja penjawat awam, memperkemas operasi dan menjimatkan masa, sekali gus meningkatkan kepuasan rakyat terhadap perkhidmatan diberikan.

“Inisiatif ini selari dengan trend global, di mana alat berpandukan AI membantu mengautomasi tugas berulang, membolehkan penjawat awam memberi tumpuan kepada kerja yang lebih bernilai tinggi,” kata Liew.

Nooraziah bersetuju dan berkata, inisiatif itu berpotensi untuk ‘mengubah sepenuhnya’ perkhidmatan awam Malaysia serta mewujudkan budaya inovasi dan kecekapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.