
Sumber berkata, suspek lelaki berusia 60-an dan wanita yang juga pengarah sebuah syarikat berusia lingkungan 40-an itu ditahan antara 7 malam hingga 11 malam semalam, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang masing-masing merupakan ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat tersenarai awam dan pengarah syarikat disyaki bersubahat mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu untuk mengeluarkan wang syarikat berjumlah kira-kira RM2.6 juta yang kemudian dipindahkan ke akaun syarikat suspek wanita itu bekerja,” katanya.
Perintah reman selama empat hari hingga 17 Feb terhadap suspek dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi, menurut Bernama.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Zainul Darus, mengesahkan penahanan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Semalam, media melaporkan SPRM menahan empat individu membabitkan dua pengarah syarikat dan dua naib presiden kanan syarikat termasuk seorang bergelar Datuk berumur 50 hingga 60-an membabitkan kes sama.
Lelaki bergelar Datuk itu direman lima hari hingga 17 Feb, manakala tiga lagi suspek masing-masing dua lelaki dan seorang wanita direman empat hari hingga Ahad.