
Langkah seterusnya ialah mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Insya-Allah bila saya ke Bahrain dan menziarah Agong, kita boleh dapat perkenan,” katanya kepada pemberita di Masjid As-Salam, Puchong, seusai solat Jumaat.
Nazri sebelum ini memberitahu FMT bahawa kontraknya tamat pada 8 Feb selepas dua tahun berkhidmat di Washington DC.
Bekas menteri itu menjelaskan tempoh pelantikannya hanya untuk dua tahun memandangkan beliau adalah lantikan politik bukan diplomat, dan turut menolak jika namanya dicadangkan Putrajaya untuk meneruskan khidmat duta besar ke AS.
Nazri mula memegang jawatan itu sejak 9 Feb 2023 dan dipilih kerana pengalaman luasnya sebagai anggota pentadbiran negara menurut Kementerian Luar Negeri.
Cakap-cakap pengganti Nazri timbul pada 7 Feb lepas, apabila bekas Ahli Parlimen Ong Kian Ming mencadangkan lima individu untuk dipertimbangkan sebagai duta besar baharu.
Beliau menamakan Tengku Zafrul Aziz (menteri pelaburan, perdagangan dan industri), Nurul Izzah Anwar (bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh), Yusmadi Yusoff (bekas Ahli Parlimen Balik Pulau), Nazir Razak (bekas pengerusi CIMB), dan Faiz Abdullah (pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia).