Karim calon utama naib presiden PBB, tetapi tumpuan pada Ibrahim Baki

Karim calon utama naib presiden PBB, tetapi tumpuan pada Ibrahim Baki

Penganalisis politik Awang Azman Pawi berkata penyandang naib presiden, Abdul Karim Rahman Hamzah dan Julaihi Narawi dijangka mengekalkan jawatan mereka.

Abdul Karim Rahman Hamzah Julaihi Narawi Ibrahim Baki
Penyandang naib presiden PBB, Abdul Karim Rahman Hamzah dan Julaihi Narawi akan mempertahankan jawatan mereka manakala Adun Satok Ibrahim Baki menyasarkan satu daripada empat slot kerusi naib presiden.
PETALING JAYA:
Dua penganalisis menamakan penyandang, Abdul Karim Rahman Hamzah, sebagai calon utama bagi satu daripada empat jawatan naib presiden sayap Bumiputera, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang dipertandingkan.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya dan James Chin dari Universiti Tasmania turut menamakan Ibrahim Baki sebagai pencabar utama, berdasarkan pengalamannya yang lama dalam parti.

Dr Annuar Rapaee.

Karim kini merupakan menteri pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan Sarawak.

Sementara itu, Ibrahim yang juga Adun Satok mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam sektor korporat dan berlatar belakang dalam bidang perundangan. Beliau juga bekas ahli lembaga pengarah Petronas.

Awang Azman berkata, selain Karim, Julaihi Narawi juga berpeluang besar untuk mengekalkan jawatannya sebagai naib presiden. Julaihi merupakan menteri utiliti dan telekomunikasi Sarawak.

“Kepimpinan mereka yang kuat dalam parti akan menjadi kelebihan utama,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini, Ketua Jawatankuasa Pemilihan PBB, Awang Bemee Awang Ali Basah, mengesahkan penyandang iaitu Karim, Julaihi, Dr Annuar Rapaee dan Abdul Rahman Junaidi akan mempertahankan jawatan mereka. Manakala, Timbalan Menteri Sarawak, Len Talif Salleh, serta Ibrahim turut menawarkan diri untuk bertanding.

Abdul Rahman Junaidi
Abdul Rahman Junaidi.

Awang Azman memilih Annuar akan memenangi slot ketiga kerana penglibatan aktifnya dalam bidang pendidikan dan inovasi.

Beliau menjangka slot terakhir akan diisi sama ada oleh Rahman atau Len Talif.

Namun, beliau juga menamakan Ibrahim sebagai pesaing kuat, memandangkan beliau seorang tokoh yang dihormati dan berkhidmat dalam parti selama lebih 40 tahun sebagai timbalan setiausaha agung.

“Jika premier (Abang Johari) memberi isyarat sokongan kepada Ibrahim dalam pemilihan ini, ia akan memberi kelebihan besar kepada beliau untuk menang,” katanya.

Chin berkata walaupun persaingan kelihatan sengit di atas kertas, secara realiti ia lebih kepada susunan berstruktur.

Len Talif Salleh
Len Talif Salleh.

“Mereka sentiasa membahagikan calon antara sayap Bumiputera dan sayap Pesaka, dan selalunya wujud konsensus sebelum pertandingan sebenar berlaku,” katanya.

PBB, parti dominan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), terdiri daripada sayap Bumiputera dan sayap Pesaka yang mewakili masyarakat Dayak.

Secara keseluruhan, PBB mempunyai sembilan jawatan naib presiden.

Selain empat jawatan dalam sayap Bumiputera, tiga jawatan diperuntukkan kepada sayap Pesaka, manakala dua lagi dikhaskan untuk ketua sayap wanita dan ketua sayap pemuda.

Pemilihan empat naib presiden dijangka berlangsung semasa Konvensyen PBB tahun ini, yang bermula hari ini sehingga Ahad (14 Feb-16 Feb).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.