Alasan ‘kurang maklumat’ siasat skandal perlombongan ‘tak masuk akal’, kata Ramkarpal

Alasan ‘kurang maklumat’ siasat skandal perlombongan ‘tak masuk akal’, kata Ramkarpal

Bekas timbalan menteri undang-undang itu berkata SPRM mempunyai “kuasa penyiasatan yang luas” di bawah Akta SPRM.

ramkarpal singh
Bekas timbalan menteri undang-undang dan reformasi institusi, Ramkarpal Singh berkata video tular yang mengaitkan beberapa Adun mendedahkan maklumat mencukupi untuk SPRM menggunakan pelbagai langkah di bawah undang-undang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas timbalan menteri undang-undang dan reformasi institusi, Ramkarpal Singh, menyifatkan alasan kekurangan maklumat yang menjejaskan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap skandal perlombongan di Sabah sebagai ‘tidak masuk akal’.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata SPRM mempunyai “kuasa penyiasatan yang luas” di bawah Akta SPRM.

Katanya, video tular mengaitkan beberapa Adun sudah mendedahkan maklumat mencukupi untuk SPRM menggunakan pelbagai langkah di bawah undang-undang, termasuk kuasa mengeledah dan menyita, merampas harta alih, memintas komunikasi, serta menyiasat akaun suspek

“Kenyataan Azam seolah-olah menunjukkan SPRM tidak, atau enggan menyiasat perkara ini melebihi video yang tersebar, yang sudah tentu akan menghakis kepercayaan orang ramai terhadap SPRM,” katanya, merujuk kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Azam sebelum ini dilaporkan berkata bahawa kekurangan maklumat menyebabkan SPRM sukar menjalankan siasatan menyeluruh.

Kata Azam lagi, apa yang SPRM boleh lakukan hanya merekodkan kenyataan daripada kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, bagi Ramkarpal, kenyataan Azam itu tidak boleh diterima.

“Kenyataan Azam mencerminkan pendekatan yang sangat cetek dalam siasatan kes ini dan mungkin memberi gambaran bahawa SPRM tidak mengambil serius. Ini boleh mencetuskan spekulasi mengenai pendakwaan terpilih,” katanya.

Awal bulan ini, seorang Ahli Parlimen Umno Sabah mempersoalkan kelewatan siasatan terhadap skandal rasuah perlombongan itu dan menggesa mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.

Bulan lalu, Azam berkata SPRM telah menyelesaikan siasatan terhadap individu yang didakwa sebagai pemberi maklumat serta bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat yang dikaitkan dengan skandal berkenaan.

Azam memaklumkan bahawa proses siasatan kes itu telah lengkap dan kertas siasatan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan susulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.