Terpedaya prospek pelaburan ‘Prof Lim’, pesara rugi RM1.7 juta

Terpedaya prospek pelaburan ‘Prof Lim’, pesara rugi RM1.7 juta

Mangsa berusia 67 tahun menemui platform Pelaburan UVKXE di Facebook yang menawarkan pulangan lumayan.

Scammer-Hacker
Dua individu dikenali Prof Lim dan Branda Ng menguruskan pelaburan saham di luar negara yang telah memperdayakan mangsa.
PETALING JAYA:
Seorang individu yang menggunakan gelaran ‘Profesor’ didakwa memperdayakan seorang pesara swasta sehingga rugi RM1.7 juta selepas terpedaya dengan prospek pelaburan ditawarkan kepadanya.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata mangsa berusia 67 tahun itu, pada Ogos lepas terjumpa platform pelaburan saham dikenali sebagai Pelaburan UVKXE di Facebook dan telah dimasukkan ke dalam kumpulan perbualan WhatsApp ditadbir oleh individu dengan nama Prof Lim dan Branda Ng.

Beliau berkata mangsa dijanjikan pulangan lumayan dan diyakinkan untuk membuat pelaburan saham dalam dan luar negara, dengan warga emas itu telah diminta untuk membuat 16 transaksi melibatkan enam akaun bank berbeza berjumlah RM1.7 juta.

“Pada Oktober lepas, Prof Lim telah menyatakan pelaburan di Malaysia dan Amerika Syarikat telah mencapai kemuncak lalu mencadangkan mangsa melabur dalam pasaran mata wang bitcoin dan kripto.

“Mangsa sedar telah diperdaya apabila dia gagal memperoleh keuntungan seperti yang dijanjikan sekali gus kerugian RM1.7 juta,” katanya dalam kenyataan sambil memaklumkan siasatan di bawah
Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata siasatan awal mengenal pasti modus operandi yang digunakan adalah dengan memperdayakan mangsa menerusi iklan di Facebook.

Hussein menasihati orang ramai tidak terpengaruh dengan tawaran pelaburan dalam media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah, khususnya menerusi aplikasi telefon bimbit serta tiada kelulusan Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.