
Sumber SPRM memaklumkan, empat individu terlibat terdiri daripada dua pengarah syarikat dan dua naib presiden kanan syarikat berusia antara 50 hingga 60an.
Menurut sumber, suspek bergelar Datuk itu dipercayai berpakat dengan seorang suspek yang juga pengarah syarikat untuk memberi rasuah bagi mendapatkan tender penjualan tanah.
“Wang rasuah itu untuk dibayar kepada seorang pegawai konglomerat multinasional di negara ini bagi mendapatkan tender penjualan tanah di Klang,” katanya.
“Siasatan awal mendapati, pengarah syarikat yang berpakat dengan Datuk itu, bersama dua naib presiden kanan syarikatnya,berpakat mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu untuk mengeluarkan wang syarikat berjumlah kira-kra RM2.6 juta yang kemudian dipindahkan ke akaun syarikat lain.”
Susulan itu, semua individu terbabit termasuk seorang pengurus akaun ditahan antara 5 petang hingga 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM.
Menurut sumber itu, lelaki bergelar Datuk itu direman selama lima hari hingga 17 Feb.
Sementara itu, tiga lagi suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita berjawatan pengarah serta dua naib presiden kanan syarikat direman empat hari hingga Ahad.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 16(b)(A) serta Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Beliau bagaimanapun berkata, pengurus akaun syarikat berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.