Harga lantai padi RM1,500 tak cukup tampung kenaikan kos, kata persatuan pesawah

Harga lantai padi RM1,500 tak cukup tampung kenaikan kos, kata persatuan pesawah

Persatuan dakwa ia tidak cukup untuk tampung kenaikan kos yang naik akibat penghapusan subsidi diesel dan kenaikan harga benih pada 2024.

protest petani pesawah
Persatuan pesawah cadang insentif harga padi RM300 dan penurunan harga kawalan benih padi sah kepada RM35, susulan penyelarasan harga lantai belian padi.
PETALING JAYA:
Harga lantai belian padi baharu, yang diselaraskan kepada RM1,500 per metrik tan, dikatakan tidak cukup untuk menampung kenaikan kos, menurut persatuan pesawah.

Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia mendakwa ia tidak mencukupi untuk menampung kenaikan kos yang naik akibat penghapusan subsidi diesel dan kenaikan harga benih pada 2024.

Pengerusi Abdul Rashid Yob menegaskan tuntutan agar harta lantai padi dinaikkan kepada RM1,800 adalah munasabah dan berasas, mengambil kira peningkatan kos diesel dan harga benih, selain kos sara hidup serta ‘pelbagai cabaran lain’ yang dihadapi pesawah dalam memastikan kelangsungan pengeluaran padi.

“Pengumuman ini tidak memenuhi aspirasi dan harapan kami,” menurut kenyataan.

Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu di Parlimen mengumumkan kerajaan bersetuju menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per metrik tan berkuat kuasa Ahad ini, bagi membantu menambah baik pendapatan pesawah.

Menteri berkata penyelarasan itu mengambil kira kos upah dan input pertanian seperti baja serta racun.

Pelarasan ini menyaksikan pesawah menikmati harga lantai belian padi baharu buat kali kedua dalam tempoh dua tahun.

Rashid berkata pihak persatuan berterima kasih atas kenaikan tersebut, namun berdukacita kerana ia tidak mencukupi.

Demikian itu, pihak persatuan mencadangkan dua ‘langkah konkrit’ untuk diteliti menteri bagi membantu pesawah.

Pertama, ia mencadangkan insentif harga padi sebanyak RM300 diberikan kepada pesawah, sebagai tambahan kepada harga lantai padi RM1,500.

Kedua, penurunan harga kawalan benih padi sah daripada RM58 ketika ini kepada RM35 memandangkan harga belian padi mengalami penurunan.

Rashid menjelaskan RM35 adalah harga asal benih padi sebelum harga dinaikkan pada Mac 2024.

“Alasan harga benih dinaikan pada waktu tersebut adalah kerana harga belian semasa padi (bukan harga lantai) yang ditawarkan kilang adalah RM1700,” katanya.

Bulan lalu, persatuan mengadakan perhimpunan di Putrajaya yang antara lain menggesa kerajaan menyelaraskan harga lantai belian padi kepada RM1,800 per tan metrik.

Tuntutan itu dibuat susulan peningkatan operasi untuk menanam padi seperti kos sewaan jentera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.