Harga benih padi turun RM2 mulai esok

Harga benih padi turun RM2 mulai esok

Harga kawalan bagi peringkat runcit turun RM56 untuk satu beg (20kg) manakala peringkat borong pula turun kepada RM52.

KPKM berkata, semua pemborong dan peruncit diarah menyelaras harga benih padi sah pada peringkat jualan masing-masing.
PETALING JAYA:
Harga kawalan benih padi bagi peringkat runcit turun daripada RM58 kepada RM56 untuk satu beg (20kg) di Semenanjung berkuat kuasa esok, menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Sementara itu, katanya, harga pada peringkat borong juga turun kepada RM52 berbanding RM54 sebelum ini.

“Penyelarasan harga kawalan maksimum ini dilaksanakan melalui sesi libat urus antara KPKM bersama pesawah dan pengeluar setelah mengambil kira pelbagai faktor antaranya kos pengeluaran dan penyelarasan harga lantai belian padi,” katanya dalam kenyataan.

Menurut kementerian, langkah itu bagi menjaga kebajikan pesawah agar mampu mendapat benih padi berkualiti tinggi pada harga berpatutan, serta memastikan ketersediaan bekalan berterusan di pasaran untuk keseimbangan ekosistem industri padi dan beras negara.

“Semua pemborong dan peruncit diarah menyelaras harga benih padi sah di peringkat jualan masing-masing,” katanya.

“Pihak yang didapati memanipulasi bekalan dan harga seperti enggan menjual, menyorok bekalan dan mengenakan syarat pembelian atau menjual melebihi harga kawalan maksimum ditetapkan boleh dikenakan tindakan pembatalan lesen bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.”

Kelmarin, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) menggesa kementerian mengeluarkan arahan untuk menurunkan harga benih padi bagi musim 1/2025.

Pengerusi Abdul Rashid Yob berkata, harga kawalan benih semasa adalah RM58, ditetapkan pada Mac 2024 ketika harga padi ditawarkan kilang mencapai RM1,800 satu tan.

Katanya, pesawah kini berdepan tekanan akibat kenaikan kos sara hidup dan penghapusan subsidi diesel menyebabkan kos operasi pertanian meningkat mendadak, sekaligus menjejaskan pendapatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.