Eksekutif akaun didakwa tunjuk isyarat lucah, halang tugas polis iring TPM

Eksekutif akaun didakwa tunjuk isyarat lucah, halang tugas polis iring TPM

Joshua Chong Tien Kit mengaku tak salah selepas tuduhan dibacakan secara berasingan di depan dua majistret.

gavel
Kedua-dua mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM5,900 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 April ini untuk sebutan kes. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Seorang eksekutif akaun syarikat pengiklanan didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua tuduhan tunjuk isyarat lucah dan menghalang tugas polis dengan memintas kenderaan mengiringi Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof minggu lepas.

Joshua Chong Tien Kit, 28, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin dan S Mageswary.

Di hadapan Mageswary, Joshua didakwa menghalang Sarjan Mohd Faiz, Sarjan Mejar Francis, Koperal Fazlil dan Koperal Timotius daripada menjalankan tugas hakiki dengan memintas kenderaan pengiring di persimpangan jalan di Taman Tun Dr Ismail pada 8 Feb lepas.

Tuduhan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Aina Azahra, lelaki itu didakwa memberi isyarat jari tengah pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa Muhammad Faiz Abu Samah dan Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh masing-masing menawarkan jaminan RM5,000 dan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi tertuduh.

Peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Chong memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya masih bujang dan tiada risiko lari selain tiada rekod jenayah lampau.

“Mangsa-mangsa dalam kes ini merupakan anggota polis dan pengiring kepada Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

“Tidak mungkin tertuduh akan mengganggu mana-mana saksi atau mangsa dalam kes ini,” kata peguam itu.

Kedua-dua mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM5,900 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 April ini untuk sebutan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.