
Bekas pengerusi jawatankuasa kuil itu, SP Narayanasamy masih terkenang dua lawatan begitu dekat di hatinya – satu oleh seorang sultan dan permaisurinya dan satu lagi anakanda sultan berkenaan beberapa bulan sebelumnya.
Pada 1971, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, sultan Selangor kelapan yang kemudian menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-11, dijemput menziarah kuil itu dan merasmikan sebuah kilang batik.
Baginda memilih singgah di kuil berkenaan terlebih dahulu dan Negaraku berkumandang sebaik ketibaan baginda yang ditemani Permaisuri Tengku Ampuan Rahimah.
Kira-kira 300 pengunjung dan murid sekolah melambai bendera menyambut ketibaan pasangan diraja itu.
Narayanasamy berkata, beliau mengalungkan bunga dan kain berwarna emas kepada baginda sebagai tanda hormat.
Tengku Ampuan Rahimah kemudian dihadiahkan 25 helai bulu merak yang disediakan khas oleh jawatankuasa kuil untuk acara berkenaan. Orang Hindu percaya bulu merak mempunyai tenaga positif dan membawa tuah serta memberi perlindungan.
Baginda kemudian mendaki 272 tangga ke kuil berkenaan bersama ahli jawatankuasa dan rombongannya, manakala Tengku Ampuan Rahimah menunggu di bawah.
Narayanasamy berkata, sultan yang ketika itu berusia 45 tahun amat cergas.
“Ketika itu saya berusia 36 tahun dan sepatutnya ‘sangat muda’ berbanding baginda, tetapi baginda sampai ke puncak beberapa saat sebelum saya,” katanya kepada FMT.
Menurutnya, Sultan Salahuddin menghabiskan dua jam di kuil itu dan memuji jawatankuasa berkenaan menjaga premis itu dengan baik.
Beliau berkata, selepas turun, baginda menyantap hidangan ringan disediakan jawatankuasa berkenaan, sebelum makan tengah hari di pekarangan kuil bersama rombongannya. Hidangan tengah hari itu disediakan ahli Umno Batu Caves.
Presiden MIC ketika itu, V Manickavasagam duduk di sebelah sultan, manakala S Samy Vellu yang kemudian menjadi presiden MIC turut hadir.
Narayanasamy berkata, Sultan Salahuddin mengucapkan terima kasih kepada beliau dan ahli jawatankuasa atas jemputan ke kuil berkenaan.
Katanya, Sultan Salahuddin turut menyuarakan rasa bangga kerana nenek moyang baginda menghadiahkan Batu Caves kepada masyarakat Hindu untuk mengamalkan agama mereka.
Beliau berkata, Sultan Salahuddin turut memaklumkan nenek moyang baginda menghadiahkan tanah kepada agama lain untuk membina rumah ibadat masing-masing.
“Sultan bertitah baginda bukan saja pemimpin orang Islam, malah penganut agama lain.”
Sultan Salahuddin mangkat pada 2001.

Menemui bakal sultan
Narayanasamy berkata, beliau juga berkesempatan menemui Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ketika itu masih Raja Muda Selangor, hanya beberapa bulan sebelum lawatan ayahandanya.
Beliau menyingkap kenangan menerima kunjungan diraja itu selepas Sultan Sharafuddin menyuarakan rasa tidak bersetuju dengan pengenalan garis panduan untuk umat Islam menghadiri acara, pengebumian dan majlis orang bukan Islam di rumah ibadat mereka.
Sultan Sharafuddin bertitah, al-Quran dan Sunnah adalah garis panduan terbaik untuk umat Islam.
Sultan Sharafuddin yang juga ketua agama Islam di Selangor berpandangan, cadangan garis panduan itu dibuat pada waktu tidak bersesuaian, iaitu ketika sekalian rakyat giat mengeratkan amalan muhibah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan nasional.