
Fikri Ab Rahim berkata, pegawai atasannya ketika itu, Azam Baki, yang merupakan timbalan ketua pesuruhjaya SPRM pada masa itu memberitahunya, maklumat yang dikumpul semasa lawatan mereka ke sebuah istana di Arab Saudi ‘tidak mencukupi’.
“Azam beritahu saya kami perlu bukti kukuh. Saya rasa maklumat itu cukup, berdasarkan apa yang kami peroleh daripada Putera Saud (Abdulaziz Al-Saud) dan peguam (Mohamad Abdullah Al Koman),” katanya.
Fikri memberitahu mahkamah, beliau dan rakan sekerjanya, Nasharudin Amir dan Hafaz Nazar, bersama Azam serta bekas timbalan pendakwa raya Dzulkifli Ahmad pergi ke Arab Saudi untuk bertemu ‘Saud’ pada hujung 2015.
Pasukan itu berada di sana untuk menyiasat empat ‘surat derma’ yang dikatakan ditandatangani dan dihantar oleh Saud kepada Najib, bertarikh antara 1 Feb 2011 dan 1 Jun 2014.
Beliau berkata, Hafaz hanya merakam kenyataan (peguam Saudi) Abdullah, tetapi bukan Saud.
“Kami lihat pasport (Saud) untuk sahkan identitinya, tetapi diberitahu kami tidak boleh buat salinan kerana beliau mempunyai imuniti tertentu.
“Kami tidak boleh soal (Saud) secara langsung. Kami hanya bercakap dengannya melalui wakilnya (Abdullah),” katanya menambah, Abdullah yang menandatangani kenyataan itu.
Fikri berkata, Eric Tan, pembantu Low Taek Jho, atau Jho Low, turut hadir di istana itu. Tan dikehendaki oleh pihak berkuasa sebagai sebahagian siasatan mereka terhadap 1MDB.
“Peguam Tan beritahu kami (pegawai SPRM), (Tan) sedia beri kenyataan. Beliau mahu peguamnya bersamanya pada setiap masa,” katanya, menamakan Selva Mookiah sebagai peguam tersebut.
‘Salin dan tempel’
Ketika diperiksa balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Fikri mengakui analisis forensik diperlukan untuk mengesahkan kesahihan pasport Saud.
Pihak pendakwaan turut mempersoalkan bagaimana beliau boleh merakam keterangan Abdullah dalam masa 20 minit sahaja.
“Kamu boleh setuju atau tidak – mustahil kamu dapat (rakam) lengkap kenyataan Abdullah dalam masa 20 minit kerana ia mengandungi banyak butiran transaksi bank, mustahil baginya untuk ingat semua dalam tempoh begitu singkat,” kata Akram.
“(Abdullah) sudah beri anda dan Hafaz draf, dan apa yang anda buat hanya salin dan tempel kandungannya.”
Fikri tidak bersetuju kerana menurutnya, kenyataan itu diambil dengan cepat kerana Hafaz cekap.
Beliau juga menafikan dakwaan pihak pendakwaan bahawa beliau ‘mengimprovisasi’ keterangannya hari ini, dengan mengambil kira testimoninya semasa kes SRC International Najib sebelum ini.
Akram: Adakah kamu diberi dokumentasi daripada (penderma) Saudi untuk tujuan siasatan?
Fikri: Tiada dokumen daripada mereka.
Najib dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 18 Feb.