
Ketua Polis Putrajaya, Aidi Sham, berkata tiada tangkapan dibuat ke atas individu terbabit.
Terdahulu, kumpulan hak asasi manusia itu mendakwa enam anggota polis dari IPD Putrajaya tiba ke pejabat NGO berkenaan hari ini untuk menangkap Pengarah Eksekutif Sevan Doraisamy dan koordinator Azura Nasron.
Kedua-duanya dimaklumkan polis pagi tadi bahawa pihak berkuasa akan berkunjung ke pejabat bagi menyampaikan notis mengikut Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah untuk memberi keterangan kepada polis.
Setakat 3.10 petang tadi, wakil Suaram berkata Sevan dibebaskan dengan MyKad dikembalikan selepas keterangan diambil.
Pada Isnin, Suaram dan ahli keluarga tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) hadir di Kementerian Dalam Negeri bagi menyerahkan memorandum menuntut jawapan segera berhubung kesejahteraan tahanan.
Pegawai kementerian ada bertemu dengan pihak keluarga di pekarangan kementerian, namun hanya menyatakan kebimbangan mereka akan disampaikan kepada pihak berkenaan.
Suaram dan ahli keluarga terbabit, yang berkeras mahu bertemu pegawai bagi penyerahan memorandum itu, kemudian berjaya melepasi pintu masuk kompleks kementerian, tetapi dihalang ke bangunan utama.
Minggu lalu, kira-kira 50 orang termasuk ahli keluarga tahanan Sosma berkampung di pekarangan Penjara Sungai Buloh kerana protes penolakan permohonan lawatan oleh Jabatan Penjara.