Jemaah Menteri bincang usul seragam agensi kerajaan tak lama lagi

Jemaah Menteri bincang usul seragam agensi kerajaan tak lama lagi

Cadangan untuk menyeragamkan beberapa agensi kerajaan adalah bagi menangani isu pertindihan fungsi dan penjimatan dana negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau akan membuat keputusan mengenai perkara itu setelah ia dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Usul untuk menyeragamkan beberapa agensi kerajaan bagi menangani isu pertindihan fungsi akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata perkara berkenaan perlu dibawa kepada pengetahuan Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum keputusan mengenainya dibuat.

“Mantan ketua setiausaha perbendaharaan (KSP) Asri Hamidon, saya tugaskan untuk mengemukakan beberapa usul bagi menyeragamkan beberapa agensi, yang akan dibawa kepada ketua setiausaha negara.

“…dan saya akan membuat keputusan setelah ia dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan.

Pada 3 Sept lepas, Anwar mengumumkan bahawa kerajaan menubuhkan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan bagi menangani isu pertindihan fungsi dan penjimatan dana negara.

Susulan itu, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar mengumumkan pelantikan Asri untuk mengetuai Jawatankuasa Khas Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan berkuat kuasa 10 Sept tahun lepas.

Sementara itu, Anwar berkata agensi kerajaan tidak dibenarkan mewujudkan syarikat di bawahnya tanpa kelulusan peringkat tertinggi kerana wujud syarikat yang mencatatkan kerugian besar.

“Saya telah memberi arahan supaya tidak boleh diwujudkan syarikat di bawah agensi tanpa kelulusan peringkat tertinggi kerana ribuan syarikat itu mencatat kerugian besar.

“Namun, membatalkan syarikat-syarikat tersebut bukanlah perkara yang mudah. Tetapi jika itu wajib dilakukan, kita harus melakukannya, dan ini adalah sebahagian daripada proses reformasi institusi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.