Tuntutan palsu RM4,126, guru besar mengaku tak salah perdaya KPM

Tuntutan palsu RM4,126, guru besar mengaku tak salah perdaya KPM

Tertuduh berdepan empat pertuduhan dengan kemuka dokumen palsu bagi projek keceriaan sekolah.

Mahkamah Majistret Kuantan
Ruslinah Mohamed Kaseh, 55, dibenar ikat jamin RM10,000 dengan 7 April depan sebagai tarikh serahan dokumen. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Guru besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas empat pertuduhan memperdaya Kementerian Pendidikan dengan mengemukakan dokumen palsu berkaitan projek keceriaan sekolah berjumlah RM4,126, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Ruslinah Mohamed Kaseh, 55, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Berdasarkan keempat-empat kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya Kementerian Pendidikan dengan mengemukakan invois dari sebuah syarikat bagi pembekalan berkaitan projek keceriaan sekolah “Sekolahku Indah” Transformasi Sekolah 25 Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP (Felda) Bukit Kuantan melalui Unit Kewangan SK LKTP (Felda) Bukit Kuantan bernilai antara RM220 sehingga RM1,896.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu pada 9 Dis 2022 bertempat di sekolah sama, lapor Kosmo.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) Akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Ibu empat anak itu turut didakwa atas empat pertuduhan pilihan bagi kesalahan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana menggunakan dokumen palsu bagi tujuan menipu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 7 April depan untuk serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.