
Pertukaran semua dokumen itu disaksikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Erdogan, meliputi bidang utama seperti peralihan tenaga, pengurusan bencana, pertahanan, perdagangan dan kolaborasi media.
Antara perjanjian penting dimeterai termasuk MoU kerjasama dalam peralihan tenaga antara timbalan perdana menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Fadilah Yusof dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Turki Alparslan Bayraktar.
Dalam bidang pengurusan bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bertukar MoU dengan Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki, selain kedua-dua negara turut memeterai perjanjian dalam latihan diplomatik.
Bagi memperkukuh kerjasama saintifik, Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan Malaysia dan Institut Penyelidikan Kutub Turki bawah Majlis Penyelidikan Saintifik dan Teknologi bertukar MoU dalam penyelidikan Antartika dan Artik.
Kerjasama dalam sektor pertahanan turut diperkukuh dengan dua perjanjian utama.
Pertamanya, perolehan kerajaan dengan kerajaan dan penubuhan Jawatankuasa Bersama bagi Produk Pertahanan antara Menteri Pertahanan Malaysia Khaled Nordin dan Setiausaha Industri Pertahanan Turki Aluk Gorgun.
Keduanya, melibatkan sistem komunikasi strategik antara Majlis Keselamatan Negara Malaysia dan Sekretariat Industri Pertahanan Turki.
Selain itu, pertukaran MoU antara Selangor Aviation and Technology Innovation SB dengan Sekretariat Industri Pertahanan Turki dalam pembangunan bandar pintar, sistem trafik, dan keselamatan oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
Dalam bidang perdagangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertukar MoU dengan Kementerian Perdagangan Turki yang memberikan tumpuan pada perlindungan pengguna, pemantauan pasaran dan pemeriksaan.
Selain itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertukar perjanjian dengan Desan Shipyard dari Turki bagi perolehan kapal misi pelbagai guna untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Dalam sektor media, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertukar MoU dengan Radio and Television Supreme Council (RTUK) Turki bagi kerjasama dalam perkhidmatan media audiovisual.
Sementara itu, Bernama dan Anadolu Ajansi turut memeterai perjanjian mengenai kerjasama maklumat dan komunikasi bagi memperkukuh hubungan media kedua-dua negara.
Pertukaran MoU ini menekankan perkongsian yang semakin erat antara Malaysia dan Turki serta mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memperdalam hubungan strategik, ekonomi dan budaya.
Tahun lepas, Turki merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport utama, serta sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.
Jumlah dagangan antara Malaysia dan Turki mencatat RM24.13 bilion (USD5.28 bilion) pada 2024, meningkat 18.7% berbanding 2023.