Iswardy Morni letak semua jawatan PKR selepas sabitan hasut

Iswardy Morni letak semua jawatan PKR selepas sabitan hasut

Iswardy Morni mengakui tidak pasti dengan masa depan politiknya dalam PKR.

Iswardy Morni
Ketua Bahagian Petra Jaya dan Setiausaha Koordinasi Penerangan PKR Iswardy Morni akan berundur secara rasmi daripada jawatan kepimpinannya dalam parti esok.
PETALING JAYA:
Pemimpin PKR, Iswardy Morni melepaskan semua jawatannya dalam parti selepas didenda RM5,000 bulan lalu kerana menghina Yang di-Pertuan Agong empat tahun lepas.

Dalam video dimuat naik ke TikTok, ketua bahagian Petra Jaya dan setiausaha koordinasi penerangan PKR itu berkata, beliau akan berundur secara rasmi daripada jawatan kepimpinannya dalam parti esok.

“Kes mahkamah tamat dan saya telah didenda. Saya tidak membuat rayuan, jadi saya tidak boleh bertanding dalam pilihan raya akan datang. Paling awal saya boleh bertanding dalam pilihan raya ialah 2032.

“Untuk pemilihan parti, terpulang kepada parti, tapi saya percaya parti pun tidak akan membenarkan saya (bertanding sebarang jawatan dalam parti).”

Iswardy didakwa pada 1 Jun 2021 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 atas kenyataannya di Facebook yang dianggap berbaur hasutan dan menghina Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pada 23 Jan lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendapati Iswardy bersalah dan menjatuhkan denda RM5,000. Iswardy mempunyai masa sehingga 6 Feb lalu untuk memfailkan rayuan terhadap sabitan serta hukumannya.

Faktor utama Iswardy perlu pertimbangkan ialah beliau dilarang bertanding dalam pilihan raya Parlimen atau PRN selama lima tahun, melainkan beliau mendapat pengampunan Agong.

Perlembagaan Persekutuan melucutkan kelayakan sesiapa saja daripada bertanding sebagai calon pilihan raya selama lima tahun, selepas dihukum penjara sekurang-kurangnya setahun atau denda minimum RM2,000.

Walaupun Iswardy mengakui tidak pasti dengan masa depan politiknya dalam PKR, tetapi beliau akan terus terlibat dalam politik.

“Saya tidak pernah bercita-cita menjadi wakil rakyat atau menteri. Saya menyertai politik kerana saya percaya rakyat perlu mempunyai suara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.