
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima sebuah kenderaan elektrik (EV), Togg, sebagai hadiah daripada Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.
Erdogan menghadiahkan Togg T10X berwarna putih itu kepada Anwar sebagai tanda persahabatan.
Anwar kemudiannya memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik sepenuhnya itu ke Kompleks Seri Perdana bersama Erdogan bagi menyaksikan pertukaran perjanjian, sidang media bersama, serta jamuan makan tengah hari.
Ditubuhkan pada 2018, Togg merupakan pengeluar EV nasional utama pertama Turki.
Terdahulu, Erdogan diberikan sambutan negara di Kompleks Perdana Putra, diikuti pertemuan empat mata dengan Anwar selama hampir satu jam, serta mesyuarat dua hala.