
Ketua Polis Kluang, Bahrin Mohd Noh, berkata dalam kejadian kira-kira 12.17 tengah hari, suspek yang menaiki sebuah kereta Perodua Bezza masuk ke halaman rumah pasangan berkenaan.
“Wanita yang berada di hadapan pintu rumah itu didatangi tiga lelaki sebelum seorang daripada suspek mengeluarkan pistol dari pinggang dan melepaskan empat das tembakan ke arah pengadu dan suaminya.
“Suspek kemudian melarikan diri sambil melepaskan dua lagi das tembakan,” katanya menurut Berita Harian..
Bahrin berkata, pasangan berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan kerana tembakan dilepaskan tersasar.
Katanya, susulan kejadian polis menahan seorang lelaki dan memburu tujuh lagi suspek kerana dipercayai mempunyai kaitan kes itu.
“Suspek ditahan dikenali sebagai ‘Man Tiger’ berusia 32 tahun dan berasal dari Simpang Renggam dikesan positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai 27 kes jenayah lampau,” katanya.
Bagaimanapun, Bahrin enggan mengulas kes itu secara terperinci termasuk punca serangan dan berkata semuanya masih dalam siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata api 1971 (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.