BN Sabah tanding 38 DUN, bentuk kerjasama selepas pilihan raya, kata sumber

BN Sabah tanding 38 DUN, bentuk kerjasama selepas pilihan raya, kata sumber

Sumber berkata BN sasar menang 27 kerusi yang akan digabung dengan parti lain bagi bentuk kerajaan Sabah.

Pada PRN 2020, BN menang 14 kerusi dan menjadi sebahagian kerajaan Sabah namun keluar dari blok pemerintah susulan krisis politik dinamakan ‘Langkah Kinabalu’ pada Jan 2023.
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) dijangka bertanding 38 DUN pada PRN Sabah, membayangkan komponen itu akan bergerak solo dan kemungkinan mengadakan pakatan baharu dengan parti lain bagi membentuk kerajaan selepas pilihan raya, menurut sumber.

Sumber Umno Sabah memberitahu FMT, komponen terbabit menyasarkan menang sekurang-kurangnya 27 kerusi yang jika menjadi realiti, akan mengukuhkan tuntutannya bagi jawatan ketua menteri dalam rundingan selepas PRN.

Beliau turut memberitahu, BN akan diwakili Umno serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) manakala MCA dinasihatkan tidak bertanding dan diminta membantu memenangkan calon komponen terbabit.

Sebagai rekod, MCA tewas di empat kerusi ditandinginya pada PRN Sabah 2020 iaitu di Kapayan, Elopura, Karamunting dan Likas.

“Sasaran menang 27 daripada 38 kerusi itu disifatkan realistik dan boleh dicapai setakat ini berdasarkan kajian di lapangan.

“Kalau menang jumlah itu boleh perkuatkan kerjasama dengan parti lain untuk mendapat majoriti mudah 37 kerusi bagi bentuk kerajaan dan membolehkan Umno mengintai jawatan ketua menteri,” kata sumber itu.

Pada PRN 2020, BN menang 14 kerusi dan menjadi sebahagian kerajaan Sabah namun keluar dari blok pemerintah susulan krisis politik dinamakan ‘Langkah Kinabalu’ pada Jan 2023.

Sedia gerak solo

Setakat ini, BN telah mengumumkan mempertahankan DUN Usukan dengan mengekalkan penyandangnya Salleh Said Keruak manakala Pengarah Pilihan Raya Umno Jeffrey Nor Mohamed diletakkan di kerusi Tanjung Keramat.

Kerusi itu dimenangi Shahelmey Yahya atas tiket BN namun beliau digantung sebagai ahli Umno susulan tindakannya menyokong Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dalam Langkah Kinabalu.

Menurut sumber itu, BN telah membuat persiapan seolah-olah komponen terbabit bergerak solo, dengan andaian tiada kata putus berkait kerjasama pada PRN dengan mana-mana parti termasuk Pakatan Harapan (PH).

“Memang kita diminta kekalkan formula di peringkat persekutuan (kerjasama parti komponen kerajaan perpaduan), namun sehingga hari ini tiada kata putus daripada mereka dan BN ada autonomi buat keputusan.

“Namun yang pasti tiada kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) malah kita sedia bertembung dengan calon mereka terutama dari Parti Gagasan Rakyat Sabah,” katanya.

Pada 5 Nov tahun lalu, BN dan PH mengadakan pertemuan dengan kedua-duanya bersetuju mewujudkan ruang komunikasi bagi memurnikan gerak kerja bersama, termasuk terbuka menjalin hubungan dengan parti lain pada PRN.

Pertemuan itu lanjutan pengumuman Pengerusi BN Zahid Hamidi yang pihaknya sudah memuktamadkan kerjasama dengan PH untuk menghadapi PRN Sabah, dan pada masa sama tidak menolak kemungkinan penyertaan GRS.

November lalu, Hajiji dipetik berkata PRN ke-17 boleh diadakan pada bila-bila masa sehingga Oktober depan, iaitu tempoh akhir penggal pentadbirannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.