6 disiasat muat naik kandungan palsu, jelik berkait Agong di Facebook

6 disiasat muat naik kandungan palsu, jelik berkait Agong di Facebook

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia turut menyiasat seorang suspek di Setapak kerana disyaki memuat naik kandungan palsu terhadap mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Pegawai SKMM menyoal siasat seorang individu kerana disyaki memuat naik kandungan berunsur palsu dan jelik melibatkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Majlis Raja-Raja di Facebook. (Gambar SKMM)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat enam individu kerana dipercayai memuat naik kandungan berunsur palsu dan jelik melibatkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Majlis Raja-Raja di Facebook.

SKMM dalam satu kenyataan berkata satu operasi pemeriksaan dijalankan hari ini terhadap seorang suspek di Setapak kerana disyaki memuat naik kandungan palsu terhadap mesyuarat Majlis Raja-Raja.

“Dalam operasi ini SKMM turut menyita satu unit telefon pintar, dan satu unit kad sim yang berkaitan dengan kes bagi membantu siasatan.

“Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti berkenaan untuk mendapatkan keterangan bagi membuktikan kes,” kata kenyataan itu.

Katanya, satu lagi kes akan disiasat secara bersama dengan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman di mana suspek diambil keterangan pada esok.

“Dua notis pula dikeluarkan SKMM kepada dua suspek untuk hadir memberikan keterangan berkait kandungan yang dimuat naik mereka di Facebook.”

Menurut kenyataan itu lagi, operasi pemeriksaan bagi kes-kes lain pula akan dijalankan sepanjang minggu ini ke atas semua suspek di lokasi berasingan sekitar Sungai Petani di Kedah, Kota Bharu di Kelantan, dan Kerian serta Teluk Intan di Perak.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Siasatan menyeluruh akan dibuat dan seterusnya kes akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan selanjutnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.