Vaksin influenza percuma hanya untuk warga emas sakit kronik

Vaksin influenza percuma hanya untuk warga emas sakit kronik

Janji temu boleh dibuat melalui MySejahtera mulai 14 Feb, dengan vaksin diagihkan secara berfasa, kata KKM.

injection
Program Perkhidmatan Farmasi KKM sedang mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan bekalan vaksin di pasaran tempatan pulih secepat mungkin, kata KKM. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Inisiatif kerajaan memberikan vaksin influenza percuma kepada warga emas hanya merangkumi mereka yang menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit kronik, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM memaklumkan sedemikian menjelaskan kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni semalam bahawa program itu membabitkan semua rakyat Malaysia berusia 60 tahun ke atas.

Dalam kenyataan hari ini, KKM berkata, vaksin percuma itu hanya akan diberikan kepada mereka yang berusia 60 tahun ke atas dengan sekurang-kurangnya satu penyakit kronik termasuk diabetes, penyakit pernafasan, penyakit jantung, obesiti, darah tinggi, dislipidemia atau penyakit buah pinggang kronik.

Program bermula pada 18 Feb Itu adalah atas dasar sukarela dan akan memberikan manfaat kepada lebih 170,000 warga emas di seluruh negara.

“Peluasan program imunisasi ini bertujuan melindungi lebih ramai populasi berisiko tinggi daripada komplikasi serius akibat jangkitan influenza seperti pneumonia, radang jantung dan sepsis yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital atau kematian,” katanya.

Janji temu untuk mendapatkan vaksinasi boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera mulai 14 Feb, dengan vaksin akan diagihkan secara berfasa.

Mengakui wujud kekurangan vaksin influenza di pasaran tempatan, KKM memberikan jaminan keadaan ini hanya sementara.

Tambahnya, kematian pelakon Taiwan Barbie Hsu akibat komplikasi influenza yang membawa kepada radang paru-paru di Jepun minggu lepas menyebabkan lonjakan permintaan terhadap vaksin itu.

“Trend ini menyebabkan kekurangan stok vaksin influenza dalam pasaran tempatan. Namun, kekurangan stok ini hanyalah bersifat sementara,” katanya.

“Bekalan vaksin untuk jangka sederhana juga adalah mencukupi bagi tujuan pelaksanaan pelan imunisasi sedia ada termasuk untuk jemaah haji.

“Di samping itu juga, Program Perkhidmatan Farmasi KKM sedang mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan bekalan vaksin di pasaran tempatan pulih secepat mungkin.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.