Tempoh daftar SSM bukan syarat lantik pengendali periksa kenderaan

Tempoh daftar SSM bukan syarat lantik pengendali periksa kenderaan

Kementerian Pengangkutan berkata ia memberi keutamaan kepada kestabilan kewangan syarikat dilantik.

PUSPAKOM - SHAH ALAM
Kementerian Pengangkutan berkata tiga syarikat yang akan beroperasi bersama Puspakom diberi tempoh 24 bulan untuk menyediakan infrastruktur, peralatan dan kakitangan mereka.
PETALING JAYA:
Kerajaan lebih mengutamakan kestabilan kewangan syarikat berbanding tempoh pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat (SSM) dalam pelantikan pengendali pemeriksaan kenderaan bermotor baharu.

Kementerian Pengangkutan menjelaskan tempoh penubuhan syarikat bukan syarat penentuan kelayakan untuk menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan bermotor.

“Sebaliknya, keutamaan diberikan kepada kestabilan kewangan syarikat berdasarkan keupayaan menyediakan modal berbayar dan modal pusingan yang mencukupi,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian Pengangkutan berkata demikian bagi menjawab pihak mempersoalkan latar belakang tiga syarikat dilantik dengan mendakwa ia tiada pengalaman khusus berkaitan automotif dan sebuah daripada syarikat itu baru ditubuhkan lapan bulan lalu.

Kementerian Pengangkutan berkata, hasil penilaian Jawatankuasa Pelesenan dan Penilaian terbukti “kelulusan sepenuhnya” syarat ditetapkan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, tiada syarikat lain mempunyai pengalaman melaksanakan fungsi berkaitan memandangkan Puspakom satu-satunya syarikat diberi mandat menjalankan pemeriksaan kenderaan.

Katanya, pemilihan lokasi dibuat berdasarkan konsep subsidi silang bagi memastikan keseimbangan perkhidmatan antara kawasan berkapasiti tinggi dan rendah.

“Konsep ini menghalang mana-mana syarikat daripada hanya memilih lokasi mempunyai volume tinggi semata-mata dan memastikan akses perkhidmatan pemeriksaan kenderaan kepada semua pengguna di seluruh negara,” katanya sambil menambah pihaknya menetapkan padanan lokasi, bukannya syarikat.

Jelasnya, pendekatan itu tidak membabitkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan dan lesen operasi tidak akan diberikan jika syarikat terbabit gagal memenuhi syarat dalam tempoh 24 bulan ditetapkan.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, mengumumkan tiga syarikat iaitu Wawasan Bintang, Pakatan Petroleum dan Beriman Gold dilantik menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan bermotor, sekali gus menamatkan monopoli Puspakom sejak sekian lama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.