Putrajaya perlu terap rejim pelaburan terbuka tanpa perketat syarat

Putrajaya perlu terap rejim pelaburan terbuka tanpa perketat syarat

Ahli ekonomi Madeline Berma kata mengetatkan lagi syarat kandungan tempatan dan dasar perolehan dijangka menyukarkan usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi.

Kuala Lumpur skyline
Madeline Berma berkata Malaysia sebagai negara perdagangan dengan pasaran domestik kecil perlu pelaburan bagi galak  pertumbuhan ekonomi. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Putrajaya perlu menerapkan rejim perdagangan dan pelaburan terbuka bagi menggalakkan pertumbuhan, tanpa mengetatkan lagi syarat sedia ada seperti wajib mendapatkan perolehan tempatan pada jumlah tertentu, kata ahli ekonomi.
madeline
Madeline Berma.

Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia, Madeline Berma, berkata gesaan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng supaya syarikat asing yang beroperasi dalam negara membeli 50% barangan keperluan daripada perniagaan tempatan telah lama dilaksanakan.

Menurutnya, syarat seperti keperluan kandungan tempatan (LCR) meliputi barangan, perkhidmatan dan tenaga kerja, selain dasar ekuiti bagi syarikat asing telah membantu pertumbuhan ekonomi domestik serta memanfaatkan syarikat Bumiputera.

Beliau memberikan contoh, bagi sektor perkilangan sejak Jun 2003, pelabur asing dibenarkan memegang 100% ekuiti meliputi semua pelaburan dalam projek baharu serta pembesaran syarikat sedia ada tanpa mengira tahap eksport, produk atau aktiviti.

“Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan dengan pasaran domestik kecil perlu terus menerap rejim perdagangan dan pelaburan terbuka tanpa banyak lagi syarat kandungan tempatan dan perolehan bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi, tenaga kerja berkemahiran tinggi dan pembangunan teknologi serta inovasi.

“Ini kerana sekarang banyak negara membuka luas pasaran mereka dan berusaha meruntuhkan ‘benteng’ yang menyekat perdagangan bebas. Malaysia mengambil bahagian dalam 16 perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara dua atau lebih negara,” katanya kepada FMT.

“Dengan pengantarabangsaan semakin meningkat, syarat yang ditetapkan melalui kedua-dua dasar membolehkan perusahaan khususnya syarikat Bumiputera dapat menyertai rantaian nilai global (GVC) sekaligus menyediakan PKS di Malaysia peluang untuk mencapai skala ekonomi, mengembangkan bahagian pasaran dan meningkatkan produktiviti.”

Menurut Madeline, menerusi FTA negara terlibat bersetuju memberikan layanan keutamaan dalam pasaran masing-masing dengan menawarkan fleksibiliti atau insentif antara satu sama lain bagi pelaburan, penyediaan perkhidmatan dan kemudahan perdagangan serta kerjasama ekonomi.

“FTA penting untuk meletakkan Malaysia sebagai negara pro industri, perdagangan dan pelaburan,” katanya mengulas gesaan Lim di Dewan Rakyat pada 5 Feb lalu.

Lim menggesa kerajaan mendesak syarikat asing beroperasi dalam negara membeli 50% barangan keperluan daripada perniagaan tempatan sebagai usaha meningkatkan ekonomi domestik.

Sukar tarik pelaburan berkualiti tinggi

Madeline berkata tindakan mengetatkan lagi syarat kandungan tempatan dan dasar perolehan juga dijangka menyukarkan usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi seperti digariskan di bawah Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

“NIA menjadi teras bagi merancakkan semula iklim pelaburan Malaysia, menarik pelaburan berkualiti tinggi selain mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi terutama pasca Covid-19 sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Jika syarat kandungan tempatan dan dasar perolehan diperketatkan lagi, maka saya jangka sukar untuk Malaysia menarik pelaburan berkualiti tinggi seperti diharapkan,” katanya.

Aimi Zulhazmi Rashid
Aimi Zulhazmi Abdul Rashid.

Aimi Zulhazmi Abdul Rashid dari Universiti Kuala Lumpur pula mencadangkan syarat wajib mendapatkan kandungan tempatan bagi syarikat asing itu dibuat mengikut jenis industri dan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai bekalan antarabangsa.

“Sebagai contoh Malaysia sekarang tumpu untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) terutama berkait industri teknologi yang lebih tertumpu kepada pemindahan teknologi untuk menjadi negara maju.

“Segala inisiatif ini harus berlandaskan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) iaitu dasar menyasarkan transformasi besar-besaran dalam perindustrian negara,” jelasnya.

Aimi berkata Malaysia perlu lebih pragmatik melaksanakan kaedah itu untuk mengimbangi di antara keperluan membangunkan ekonomi domestik tetapi pada masa sama berdepan saingan sengit dari negara rantau Asean untuk menarik pelabur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.