
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago, berkata 72 pusat data di Johor, 27 di Selangor dan dua di Negeri Sembilan memohon 808 juta liter sehari (JLH), tetapi hanya 142.06 JLH diluluskan.
“Ini disebabkan bekalan air tidak mencukupi untuk membantu pusat data ini. Justeru, sumber alternatif perlu dipertimbangkan,” katanya dalam sidang media di sini.
Pusat data menggunakan sejumlah besar air dan kuasa untuk sistem penyejukan mereka.
Santiago berkata, pusat data perlu mempertimbangkan penggunaan sumber air alternatif, seperti air tebus guna dan air laut.
Tetapi, beliau mendapati ketersediaan dan kecukupan sumber alternatif itu bergantung kepada lokasi.
Katanya, kerajaan perlu menilai kesediaan negara menubuhkan pusat data berskala besar yang menggunakan lebih banyak air dan mempertimbangkan had ditetapkan ke atas pembangunan mereka selepas mengambil kira status sumber air negara.
Menurutnya, garis panduan perlu dirangka bagi memastikan industri lain yang sangat bergantung kepada bekalan air tidak terjejas dengan kemunculan pusat data berskala besar.
“Setiap pusat data skala besar memerlukan sehingga 17.5 JLH untuk beroperasi,” katanya sambil menambah jumlah itu bersamaan tujuh kolam renang bersaiz Olimpik.
“Ada pihak berminat menubuhkan pusat data berskala besar di sini. Ini sebabnya kita memerlukan garis panduan dengan segera.”
Bulan lalu, SPAN menggesa kerajaan mewujudkan peraturan had penggunaan air untuk industri, termasuk pusat data kerana mereka diketahui menggunakan jumlah air yang banyak.