
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, berkata temujanji bagi mendapat suntikan itu boleh dibuat menerusi aplikasi MySejahtera yang dibuka kepada orang ramai 14 Feb ini.
“Untuk program suntikan imunisasi influenza bagi warga emas, suntikan ini terbuka kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas di lokasi klinik terpilih.
“Kita menggalakkan suntikan ini diambil bagi kesejahteraan masyarakat, khususnya warga emas,” katanya menurut Harian Metro selepas merasmikan Wellness Hub Kulim dan Penyerahan Kunci Pusat Rekod Perubatan Zon Utara di Kulim.
Beliau berkata, sektor swasta dan kerajaan negeri digalakkan berkolaborasi bagi melaksanakan program suntikan influenza itu.
“Sebagai contoh, ketika Covid-19, terdapat kerajaan negeri seperti Selangor dan Sarawak berusaha sendiri untuk menambah bilangan vaksinasi.
“Bagi warga emas ini, kaedah yang sama kita boleh bincang di peringkat kementerian.”
Dalam perkembangan lain, Lukanisman berkata, KKM giat menaik taraf klinik daif di bawahnya membabitkan 455 projek naik taraf di seluruh negara, termasuk 41 projek di Kedah.
Mengenai projek menaik taraf Hospital Kulim yang diumumkan dalam Belanjawan 2025, menurutnya, kerja awalan sedang dijalankan untuk mengenal pasti keperluan dan spesifikasi hospital yang akan dibangunkan.