Penganggur didakwa bunuh warga emas

Penganggur didakwa bunuh warga emas

Lin Chee Ming dituduh bunuh Ling Chin Kian, 78, dalam kejadian di Sitiawan bulan lalu.

Penganggur Lin Chee Ming bernama pic 91225
Lin Chee Ming, 49, mengaku salah atas dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan atas kesalahan dadah, namun tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan bunuh. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Manjung atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas, bulan lalu.

Tertuduh, Lin Chee Ming, 49, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid. Namun, tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian, Ling Chin Kian, 78, di sebuah rumah di Kampung Baru, Kampung Koh, Sitiawan dalam daerah Manjung pada 3.40 hingga 4.44 pagi, 26 Nov 2025.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nuranisah Ismah Muhammad Husaini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam, lapor Utusan Malaysia.

Tarikh sebutan semula kes itu ditetapkan pada 10 Feb 2026 sementara menunggu laporan bedah siasat, kimia, patologi, dan forensik.

Dalam prosiding sama, Lin dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan selepas mengaku bersalah menggunakan kepada diri sendiri dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki warga emas ditemukan maut dengan kesan kecederaan di kepala dan muka di kediamannya, selain polis menemui sebatang cangkul disyaki digunakan sebagai senjata.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.