
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata pihaknya telah menjalankan siasatan di kuari dan rumah penduduk terlibat semalam, selepas menerima makluman, termasuk pertanyaan daripada pihak media.
“Merujuk artikel media Jumaat lalu berhubung dakwaan berlaku letupan terlalu kuat di sebuah kuari di Bandar Baharu Rabu lalu yang menyebabkan kerosakan kepada rumah penduduk berhampiran, kami telah membuat siasatan awal.
“Siasatan awal mendapati tiada aduan dibuat mana-mana pihak berkaitan insiden berkenaan kepada JAS. Semakan dengan pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Kedah juga mendapati tiada aduan diterima agensi tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, semakan dengan pihak polis mendapati pengadu membuat laporan pada keesokannya susulan kerosakan rumah yang didakwa berpunca daripada aktiviti letupan kuari itu.
“Semakan JAS terhadap rekod letupan kuari melibatkan parameter Peak Sound Pressure Level serta Peak Vector Sum mendapati tahap bunyi dan gegaran mematuhi had ditetapkan. Pengukuran bunyi dan getaran dilaksanakan di lokasi rumah pengadu terletak kira-kira 650m dari kawasan letupan.
“Hasil perbincangan, pihak kuari menanggung kos membaiki kerosakan rumah pengadu, walaupun pihak kuari mematuhi zon penampan, di mana jarak rumah ke kuari lebih 500m dan mematuhi had bunyi dan gegaran. Namun, impak kepada perumahan penduduk tidak wajar diabaikan.”
Sharifah Zakiah berkata, pihaknya akan terus memantau lebih kerap kaedah operasi kuari dan berbincang dengan agensi lain serta mengesyorkan langkah pembaikan kepada pihak kuari bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Susulan itu, notis arahan di bawah Seksyen 37 (1)(d) dikeluarkan untuk pemaju mengemukakan laporan peletupan dan kawalan peletupan di tapak. Mereka juga diarahkan sentiasa mematuhi semua syarat dan melaporkan sebarang insiden, khususnya melibatkan konflik atau gangguan kepada penduduk.
“Sebarang aduan boleh disalurkan kepada JAS melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 dan sistem e-aduan JAS eaduan.doe.gov.my. Kelewatan aduan boleh menyukarkan siasatan kerana bahan bukti mungkin terjejas.”