Erdogan bakal terima anugerah tertinggi UM

Erdogan bakal terima anugerah tertinggi UM

Presiden Turki dijadual melakukan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula Isnin.

Recep Tayyip Erdogan
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan akan mengadakan kunjungan ke negara ini bagi bertemu Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 11 Feb. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa oleh Universiti Malaya (UM) sempena lawatan rasminya ke Malaysia, sebagai penghormatan tertinggi serta pengiktirafan terhadap sumbangan dalam diplomasi global dan perundingan antarabangsa.

UM dalam kenyataan, memaklumkan Canselor UM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat itu kepada Erdogan dalam satu Istiadat Konvokesyen Khas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada 10 Feb.

Majlis itu akan dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir.

Pemimpin Turki itu dijadual melakukan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula Isnin.

Pada 11 Feb, beliau akan diberi sambutan rasmi di Perdana Putra, diikuti dengan pertemuan bersama Anwar.

Perbincangan itu dijangka merangkumi isu dua hala, serantau dan antarabangsa, yang akan mengukuhkan lagi perkongsian strategik Malaysia-Turki.

Lawatan itu juga akan menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MoU), diikuti dengan sidang media bersama.

Lawatan Erdogan akan diakhiri dengan Forum Perniagaan Malaysia-Turki, mencerminkan komitmen bersama antara kedua-dua negara dalam memperkukuh perkongsian ekonomi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.