Graduan perlu bijak urus kejayaan, titah Sultan Nazrin

Graduan perlu bijak urus kejayaan, titah Sultan Nazrin

Sultan Perak bertitah kegagalan berbuat demikian boleh menjejaskan segala pencapaian yang telah diraih.

Sultan Nazrin Shah
Sultan Nazrin Shah bertitah seseorang yang mengurus kejayaan dengan kematangan akan mengubah pencapaian mereka menjadi batu loncatan ke arah kecemerlangan yang lebih baik. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah bahawa kejayaan perlu diurus dengan baik, sambil menegaskan kegagalan mengurusnya boleh menjejaskan segala pencapaian yang telah diraih.

Baginda bertitah, cara seseorang mengurus kejayaan akan menentukan sama ada seseorang akhirnya akan sampai ke puncak sebagai insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Mereka yang ‘mengurus kejayaan dengan kematangan’ akan mampu menjadikan pencapaian mereka sebagai batu loncatan ke arah kecemerlangan yang lebih besar, titah baginda.

“Sebaliknya, jika tersilap langkah, anda berpotensi tergelincir jatuh ketika mendaki gunung kejayaan atau tenggelam dalam laut kejayaan.

“Apabila itu berlaku, akan kelamlah bintang kejayaah terdahulu dan anda mungkin berakhir dengan kekesalan yang tiada berhujung,” titah Sultan Nazrin pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaya ke-65 pagi ini.

Sultan Nazrin ialah canselor UM.

Baginda turut bertitah, kejayaan menuntut kerendahan hati mengatasi sifat riak dan angkuh serta keberanian untuk terus belajar. Ia juga memerlukan integriti.

“Paling utama, kejayaan mesti disertai rasa syukur: menghargai dan meraikan mereka yang pernah membantu dan berperanan di sebalik kejayaan kita.”

Sultan Nazrin juga bertitah kepada graduan bahawa mereka bakal berdepan ujian dan cabaran sebenar memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan.

Baginda bertitah agar mereka tidak bersifat kacang lupakan kulit yang lupa diri dan asal usul.

“Jadilan insan yang mengamalkan resmi padi, semakin berisi semkin tunduk. Nilai yang dipegang akan berperanan sebagai kompas moral memandu anda menjadi aset atau liabiliti kepada negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.