DBKL laksana operasi selamat gelandangan, sejajar Kepengerusian Asean, TMM 2026

DBKL laksana operasi selamat gelandangan, sejajar Kepengerusian Asean, TMM 2026

Dr Zaliha Mustafa berkata pihaknya komited menyelamatkan mereka yang kebanyakan warga asing, pemegang kad UNHCR, pesakit mental, dan penagih dadah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata pihaknya sedaya mungkin menjaga imej Kuala Lumpur sebagai pintu masuk negara.
PETALING JAYA:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melaksanakan operasi menyelamat golongan gelandangan di ibu negara bagi menjaga imej negara sempena Kepengerusian Asean 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata golongan gelandangan itu melibatkan warga asing, pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), pesakit mental, dan penagih dadah.

Katanya, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan menyelaras semua agensi berkaitan untuk mengatasi isu gelandangan di ibu kota, yang disifatkan sebagai pintu masuk negara.

“(Jumlah) gelandangan di Kuala Lumpur ada naik dan turun. Berdasarkan data menerusi operasi menyelamat yang dijalankan, kami mendapati golongan gelandangan di ibu kota ini terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Dalam isu gelandangan, tiada akta khusus yang boleh digunakan. Ketika ini, kami mengguna pakai Akta Orang-Orang Papa 1977 yang berada di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya menurut Harian Metro.

Katanya, mustahil memastikan ‘sifar’ gelandangan di Kuala Lumpur, namun pihaknya berusaha sedaya mungkin untuk menjaga imejnya.

“Program berkaitan Sidang Kemuncak Asean adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Luar Negeri (KLN) dan kami (JWP) terbabit sebagai jawatankuasa logistik,” katanya.

Zaliha berkata, sekitar 300 program berkait Sidang Kemuncak Asean dianjurkan dengan 180 daripadanya berlangsung di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Sebagai lokasi pintu masuk negara, kami perlu bersedia bukan sahaja dari segi logistik tetapi juga membabitkan isu kebersihan, pengindahan bandar, dan infrastruktur terutama di pusat bandar yang menjadi kawasan tumpuan orang ramai termasuk delegasi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.