
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, berkata program dilaksanakan kementeriannya berlandaskan Dasar Perpaduan Negara bagi memastikan Malaysia terus harmoni, aman dan sejahtera.
“Komitmen kami untuk memastikan segala inisiatif dilaksanakan melalui kementerian ini sentiasa menepati keperluan dan aspirasi rakyat Malaysia dalam memupuk perpaduan berterusan, merentasi pelbagai kaum dan budaya,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Chin dalam hantaran X mempersoalkan peranan Kementerian Perpaduan Negara.
“Apabila terdapat isu, Kementerian Perpaduan tidak muncul sehingga menteri lain dah selesaikan isu tersebut,” kata Chin merujuk isu KK Mart serta sambutan Krismas di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Chin turut mencadangkan kementerian itu dimansuhkan dan peruntukannya boleh digunakan menampung geran bagi bukan Islam dalam usaha kerajaan mempromosi masyarakat berbilang kaum.
Aaron berkata, pihaknya sentiasa memberikan tumpuan isu perpaduan negara dan 730 program berunsurkan perpaduan dilaksanakan tahun lalu, diikuti penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP) tahun ini yang akan bertindak pantas dalam memberi maklum balas dan nasihat kepada rakyat Malaysia.
“Kementerian Perpaduan Negara akan terus memperkukuhkan usaha untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.”
Menurutnya, beliau sentiasa terbuka menerima pandangan dan cadangan membina daripada semua pihak.
“Saya sudi bertemu mana-mana pihak yang inginkan penjelasan mengenai fungsi kementerian atau membincangkan isu-isu perpaduan di negara ini.”