
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, berkata mangsa seorang warga asing berusia lingkungan 30-an itu telah dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan dan dilaporkan stabil.
Beliau berkata, suspek yang juga warga tempatan dipercayai tiba di pusat beli-belah itu lebih kurang 10 malam dan menuju ke arah mangsa sebelum melepaskan tembakan.
“Polis percaya sekurang-kurangnya lapan das tembakan telah dilepaskan suspek terhadap mangsa menggunakan pistol,” katanya kepada Bernama.
Selepas melepaskan tembakan, suspek kemudiannya melarikan diri dengan menahan sebuah kenderaan dan memaksa pemandu kenderaan itu membawanya keluar dari kawasan terbabit.
“Suspek kemudian memaksa pemandu itu menurunkannya di tepi jalan sekitar Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan pemandu terbabit kemudiannya membuat laporan polis,” katanya.
Berikutan itu katanya polis kini giat menjejaki suspek di lokasi terakhir dia dilihat.
Terdahulu, Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata pasukannya baru tiba di lokasi.
“Ya betul (berkenaan insiden tembakan) dan pasukan polis baru sampai di tempat kejadian, nanti saya (kongsikan) perkembangan kes,” katanya.
Tular di media sosial mengenai satu kejadian tembakan yang dikatakan berlaku di sebuah kedai emas di dalam sebuah pusat-beli belah di Setia Alam.
Sementara itu, Iqbal berkata keadaan di sekitar pusat beli-belah berkenaan disahkan selamat daripada ancaman dan dibenarkan beroperasi seperti biasa.
Beliau berkata, polis telah memeriksa semua kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut dan melakukan ‘flushing’ di kawasan sekitar sebelum mengesahkan situasi dan lokasi kejadian adalah selamat.
“Selepas pemeriksaan rapi, kita sahkan kawasan ini selamat dan premis ini dibenarkan beroperasi seperti biasa esok,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau berkata, unit forensik polis sedang melaksanakan siasatan terperinci di lokasi kejadian yang dipercayai berlaku sebelum waktu operasi premis berkenaan berakhir.
Menurut Iqbal, pihaknya akan memberikan kenyataan penuh selepas siasatan di tempat kejadian selesai.